KUALA LUMPUR 4 Mei – Tekanan inflasi berpunca daripada kejutan harga minyak mentah global susulan konflik Timur Tengah berisiko menjejaskan pertumbuhan pinjaman dan aset sektor perbankan Malaysia.
Menurut penganalisis, kesan negatif berkenaan akan dapat dirasai dalam tempoh beberapa suku akan dating sekiranya ketegangan akibat pergolakan di rantau tersebut terus berlarutan lebih lama.
MBSB Research berkata, walaupun prestasi sektor itu kekal stabil pada suku pertama 2026, prospek seterusnya semakin mencabar apabila kesan tekanan kos mula dirasai oleh pengguna dan perniagaan.
“Tekanan kos akibat konflik Timur Tengah kini bukan sahaja menjejaskan perniagaan, malah memberi kesan kepada pengguna, serta meningkatkan risiko terhadap pinjaman runcit dan komersial,” katanya.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan harga tenaga kekal tinggi boleh menjejaskan pelaburan korporat serta perbelanjaan isi rumah, yang merupakan tunjang utama permintaan domestik negara.
Meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan pertumbuhan pinjaman stabil pada kadar 5.6% tahun ke tahun (YoY), namun MBSB Research berpendapat momentum itu sukar dikekalkan dalam jangka pendek.
Kenanga Research pula memberi amaran kemungkinan ada peningkatan risiko dalam segmen pembiayaan tanpa cagaran seperti pinjaman peribadi, kad kredit serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Keadaan ini boleh mendorong bank-bank untuk beralih kepada pembiayaan yang lebih berisiko rendah seperti pinjaman perumahan dan sewa beli bagi mengekalkan kualiti aset mereka sendiri," ujarnya.
Tambah firma penyelidikan itu. tekanan inflasi berpanjangan juga boleh menyebabkan kelewatan dalam pengiktirafan peruntukan kerugian kredit, sekali gus memberi kesan kepada prestasi kewangan bank.
Bagaimanapun Kenanga kekal selektif terhadap sektor itu dengan memilih bank yang lebih berdaya tahan terhadap tekanan inflasi semasa seperti CIMB Group Holdings Berhad dan Public Bank Berhad.
Dalam pada itu, CGS International menjangka pertumbuhan pinjaman tinggi pada suku pertama 2026 tidak mampan untuk tiga suku berikutnya, dengan unjuran pertumbuhan tahunan hanya sekitar 4.5%.
"Walaupun berdepan cabaran, kami menegaskan asas sektor perbankan kekal kukuh, disokong penampan modal yang kuat, kualiti aset stabil serta persekitaran makroekonomi relatif masih teguh," katanya.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga firma penyelidikan tersebut berpandangan, sektor ini terus menarik minat pelabur sebagai aset yang defensif dengan hasil dividen stabil boleh mencecah kira-kira 5%.
Di samping itu, mereka berpendapat, potensi aliran masuk modal asing dan kemungkinan pengagihan dividen khas pada masa hadapan boleh mengukuhkan institusi perbankan. - DagangNews.com








