Inflasi 2026 diramal mencecah 2.1% dorong pengguna mengutamakan keperluan asas — Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi 2026 diramal mencecah 2.1% dorong pengguna mengutamakan keperluan asas — Kenanga Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 April — Tekanan inflasi diramal meningkat susulan konflik Timur Tengah menghakis kuasa beli pengguna, dan mendorong peralihan ketara kepada perbelanjaan barangan keperluan asas.


Menurut Kenanga Research, unjuran inflasi bagi tahun ini disemak naik kepada 2.1% daripada 1.9%, akibat gangguan rantaian bekalan minyak dan baja global meningkatkan kos makanan serta pengangkutan.


Bagaimanapun jelasnya, impak negatif tersebut dijangka dapat diserap sebahagiannya melalui sokongan fiskal kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

 

 

 

 

 


"Selain itu, kami menjangka pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kesinambungan subsidi tenaga menyeimbangkan kesan inflasi di pasaran," kata firma itu dalam nota.


Tambah Kenanga Research, pengguna ketika ini semakin memberi keutamaan kepada perbelanjaan asas, manakala pembelian barangan tidak penting dijangka terus ditekan jika kos sara hidup meningkat.

 

pengguna_DagangNews


Trend ini jelas apabila subsektor seperti kedai mini dan serbaneka mencatat pertumbuhan 13%, tetapi segmen bersifat budi bicara seperti perabot, pembaikan rumah dan produk elektrik susut 10%.


Dari sudut pelaburan, firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan neutral terhadap saham bermodal besar, namun lebih cenderung kepada kaunter syarikat yang ada daya tahan pendapatan lebih kukuh.


"Kami menyarankan pelabur memberi fokus kepada syarikat berteraskan barangan keperluan, defensif, mempunyai asas fundamental kuat serta menawarkan nilai pulangan menarik," kata Kenanga Research.

 

 

 

 

 


Secara keseluruhan, ia berpandangan kadar penggunaan domestik adalah kekal berdaya tahan, disokong oleh pelbagai bantuan fiskal dan kestabilan asas ekonomi makro negara ini yang lebih mampan.


Namun, corak perbelanjaan dijangka kekal berhati-hati, dengan pengguna menumpukan kepada produk yang menawarkan nilai wang dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. - DagangNews.com