Infineon mampu sumbang hingga 12% kepada hasil Malaysian Pacific Industries, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Infineon mampu sumbang hingga 12% kepada hasil Malaysian Pacific Industries, kata CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 SeptMalaysian Pacific Industries Berhad (MPI) dijangka menerima lonjakan hasil ketara menerusi pengambilalihan Infineon Technologies Thailand Limited, menurut CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat dari negara jiran itu mampu menyumbang antara 8% hingga 12% kepada hasil kumpulan teknologi berkenaan pada tahun kewangan 2027 (FY27) dan FY28.


Berdasarkan perkembangan positif itu, ia menaikkan harga sasaran MPI kepada RM35.00 sesaham, sambil mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas potensi saham syarikat semikonduktor tempatan tersebut.


“Infineon menawarkan prospek sedia ada, yang selama ini merupakan pelanggan utama MPI sendiri dan ini memberikan sokongan volum segera kepada MPI,” jelas CIMB Securities dalam notanya hari ini.


MPI mengumumkan pengambilalihan Infineon pada nilai AS$$78 juta (kira-kira RM328 juta), iaitu harga di bawah nilai buku, menjadikannya tawaran menguntungkan dari segi strategik dan kewangan.


Langkah itu membolehkan MPI memiliki kemudahan pembuatan bahagian akhir di Nonthaburi, Thailand, sekali gus mempelbagaikan kemudahan pengeluaran di luar Malaysia dan mengukuhkan rantaian bekalan.


CIMB Securities menjangka Infineon menjadi pemacu pertumbuhan penting kumpulan berkenaan, khususnya selepas proses integrasi dapat diselesaikan pada 4QFY26 yang dibiayai sepenuhnya secara tunai.


"Dengan kepakaran dalam operasi pemasangan dan ujian semikonduktor, kami menjangkakan MPI mampu meningkatkan kecekapan serta menyesuaikan margin keuntungan kepada tahap kumpulan," katanya.


Pengambilalihan itu juga mengukuh kerjasama strategik MPI dengan induknya, Infineon Technologies AG dan memperluas jejak operasi global seterusnya mempertingkatkan ketahanan rantaian bekalannya.


Ia juga menyemak naik unjuran pendapatan MPI bagi FY26 hingga FY28 antara 4.7% hingga 7.5%, dengan menyatakan tiada sumbangan dijangka pada FY26 kerana pengambilalihan masih dalam fasa permulaan.


Bagaimanapun kata CIMB Securities, sebaik beroperasi penuh, sumbangan kepada kumpulan dijangka kukuh menyokong purata pertumbuhan keuntungan bersih teras (CAGR) sebanyak 24% dalam tiga tahun.


"Selain isu pengambilalihan, pertumbuhan MPI turut dipacu oleh faktor permintaan kukuh dalam segmen kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur pusat data (DC)," kata firma berkenaan.


MPI juga merancang melancarkan program modul tenaga baharu bagi pengeluar cip AI global pada separuh pertama 2026, sekali gus membuka potensi pertumbuhan jangka sederhana yang lebih tinggi.


Justeru CIMB Securities melihat MPI berada di landasan kukuh memasuki fasa pertumbuhan baharu, disokong oleh strategi pengembangan agresif dan kerjasama aktif jangka panjang. - DagangNews.com