Industri minyak sawit gesa pertimbang semula caruman wajib pekerja asing, beban kos RM137 juta setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri minyak sawit gesa pertimbang semula caruman wajib pekerja asing, beban kos RM137 juta setahun

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb - Industri minyak sawit Malaysia menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan mewajibkan caruman dua peratus kepada pekerja asing dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Ini ujar mereka berikutan potensi kos besar yang terlibat dengan dianggarkan 336,500 pekerja warga asing bekerja dalam sektor perladangan dan bakal melibatkan tambahan kira-kira RM137 juta setiap tahun.

 

Menurut kenyataan dkeluarkan bersama sejumlah 11 organisasi perladangan Malaysia yang bergabung dengan industri itu, mereka meminta polisi tersebut dipertimbangkan kembali ekoran tekanan kewangan dihadapi.

 

 

"Langkah ini demi memastikan ia tidak membebankan pihak majikan atau pekerja asing secara tidak langsung," kata mereka yang bergabung untuk dikenali sebagai Association dalam kenyataan tersebut.

 

Malaysia amat bergantung pekerja asing, terutama dari negara jirannya Indonesia dan rantau Asia Selatan India, Nepal dan Bangladesh susulan penduduk tempatan pula enggan bekerja di ladang.

 

Semalam, kerajaan mencadangkan untuk melaksanakan kadar caruman KWSP secara mandatori hanya dua peratus untuk pekerja asing yang akan dibincangkan di peringkat Kabinet minggu ini.

 

Kementerian Sumber Manusia dilaporkan bakal mengumumkan butiran peraturan itu. Pengenalan caruman wajib ini akan mewujudkan cabaran kewangan baharu bagi banyak syarikat perladangan kecil.

 

Ia juga menurut Association, dijangka mengalihkan tumpuan daripada inisiatif produktiviti dan kemampanan kerana KWSP direka untuk simpanan persaraan jangka panjang, yang mungkin tidak sejajar keperluan buruh asing

 

“Kebanyakan pekerja asing berada di Malaysia untuk kitaran pekerjaan jangka pendek antara dua hingga empat tahun sahaja dengan lebih mengutamakan penghantaran pulang pendapatan mereka,” jelasnya lagi.

 

Association itu memberi amaran bahawa potensi pengurangan gaji dibawa pulang buruh asing itu juga mungkin menghalang mereka daripada mencari lagi pekerjaan di Malaysia pada masa depan.

 

Isu lain yang mendesak ialah kekurangan mekanisme pengeluaran KWSP yang jelas untuk pekerja asing sekiranya mereka ingin pulang ke negara asal kerana belum mencapai tahap umur dibenarkan.

 

"Tanpa mekanisme pengeluaran tuntas, ramai mungkin bergelut menuntut simpanan mereka dan mewujudkan potensi ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja serta merumitkan lagi pematuhan majikan," katanya.

 

Selain itu Association juga menegaskan bahawa syarikat kecil dan sederhana amat terdedah kepada implikasi kos asas yang mengurangkan keuntungan dan mengekang usaha berdaya saing dalam pasaran minyak sawit global.

 

Sambil mengakui hasrat kerajaan untuk meningkatkan nasib kebajikan pekerja, mereka namun menekankan kepentingan pelaksanaan dasar yang adil dan praktikal dengan situasi semasa.

 

“Kami tetap komited bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan untuk membangunkan pendekatan seimbang demi memastikan pertumbuhan berterusan sektor minyak sawit Malaysia sambil menjaga kesejahteraan tenaga kerjanya,” kata kenyataan itu.

 

Organisasi dalam Association:

Persatuan Minyak Sawit Malaysia

Persatuan Pemilik Harta Tanah Malaysia

Persatuan Penanam Malaysia Timur

Persatuan Perundingan Majikan Sabah

Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak

Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak

Persatuan Penggiling Minyak Sawit

Persatuan Pengilang Minyak Makan Malaya

Persatuan Penanam Diperbadankan

Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia

Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan

 - DagangNews.com