KUALA LUMPUR 30 April – Malaysian Timber Association (MTA) menggesa kerajaan menetapkan harga diesel tidak melebihi RM5 seliter sebagai langkah segera bagi meredakan tekanan kos yang semakin meningkat dalam industri berasaskan kayu dan perabot.
Menurut persatuan itu, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada mekanisme sokongan bahan api yang disasarkan, termasuk pemberian kuota subsidi bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil.
MTA berkata, sektor itu kini berdepan “beban tiga serangkai” iaitu kenaikan cukai, peningkatan harga diesel serta kekurangan tenaga kerja asing yang menjejaskan daya saing dalam pasaran global.
Katanya, tekanan gabungan tersebut telah meningkatkan kos operasi dan pada masa sama mengehadkan keupayaan pengeluaran syarikat dalam industri berkenaan.
“Ini bukan lagi cabaran kitaran, tetapi ancaman struktur kepada salah satu industri eksport utama negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tekanan Serius
MTA menjelaskan, kesan keseluruhan cabaran itu meletakkan industri kayu di bawah tekanan serius dan tidak mampan, dengan implikasi langsung terhadap prestasi eksport, asas perindustrian serta ekosistem pekerjaan negara.
Menurutnya, Malaysia kekal sebagai antara pengeksport perabot utama dunia dan sebarang gangguan berpanjangan boleh membawa kepada kehilangan pekerjaan, rantaian bekalan yang lemah serta penyusutan pegangan pasaran global.
Dalam pada itu, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa sejak Julai 2025 turut menyumbang kepada peningkatan kos di sepanjang rantaian nilai industri.
MTA berkata, penghapusan pengecualian cukai bagi kayu gergaji menyebabkan bahan tersebut kini dikenakan cukai jualan sebanyak 5% yang mencetuskan kesan “cukai atas cukai” kerana sistem SST tidak membenarkan kredit cukai input.
Keadaan itu mengakibatkan kos pengeluaran hiliran meningkat antara 8% hingga 12% dari peringkat kilang hingga ke produk siap.
Pengecualian Cukai
Justeru, persatuan itu menggesa Kementerian Kewangan mengembalikan pengecualian cukai penuh bagi kayu gergaji serta mengiktirafnya sebagai bahan mentah untuk bahan binaan bagi memulihkan daya saing eksport.
Selain isu cukai, industri itu turut berdepan tekanan kos bahan api yang ketara berikutan kebergantungan tinggi kepada diesel serta akses terhad kepada skim bersubsidi seperti kad armada Budi Madani, yang melebarkan jurang kos dalam kalangan pemain industri.
Keadaan itu bukan sahaja mengecilkan margin keuntungan, malah meningkatkan harga balak dan menambah tekanan kepada pengusaha di peringkat huluan.
Pada masa sama, sektor kayu dan perabot terus berdepan kekurangan tenaga kerja apabila sebahagian kilang hanya beroperasi pada kapasiti sekitar 60% susulan kelewatan kelulusan kuota pekerja asing, di samping berdepan kos pengambilan yang semakin meningkat, sekali gus mengehadkan pelaburan semula dalam automasi dan peningkatan produktiviti jangka panjang. - DagangNews.com








