Industri halal Malaysia jana hasil cecah RM417.2 bilion pada 2022, kata DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri halal Malaysia jana hasil cecah RM417.2 bilion pada 2022, kata DOSM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Industri halal Malaysia mencatatkan prestasi kukuh apabila sebanyak 12,424 premis perniagaan halal berjaya menjana output kasar keseluruhan bernilai RM417.2 bilion pada 2022.


Menurut laporan rasmi yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, angka berkenaan menyaksikan peningkatan lebih 100% berbanding tinjauan terakhirnya pada 2015 iaitu RM207.4 bilion.


Ia menjelaskan bahawa sektor ini turut menyumbang sebanyak RM98.2 bilion kepada nilai tambah, dengan disokong input pertengahan bernilai RM319 bilion dan aset tetap berjumlah RM105.8 bilion.


"Sebanyak 610,672 pekerja terlibat dalam industri halal dengan jumlah bayaran upah mencecah RM25.1 bilion, menandakan kepentingan strategik dalam ekosistem ekonomi negara," kata kenyataan DOSM.


Sektor pembuatan menyumbang bahagian terbesar kepada prestasi keseluruhan industri halal, dengan 3,590 premis yang menghasilkan output kasar RM347.8 bilion dan nilai tambah sebanyak RM61.4 bilion.


Kata DOSM, seramai 283,184 tenaga kerja berkhidmat dalam sektor ini dengan jumlah gaji yang dibayar ialah RM12.4 bilion, manakala sektor perkhidmatan mencatatkan jumlah premis tertinggi iaitu 8,464.


Ia menjana RM59.6 bilion output kasar dan RM32.2 bilion nilai tambah selain merekodkan bilangan pekerja tertinggi iaitu 314,392 orang, dengan gaji keseluruhannya yang mencecah RM12.3 bilion.


"Bagi sektor pertanian, sebanyak 370 premis terlibat dengan output kasar RM9.9 bilion dan nilai tambah RM4.7 bilion, serta menggaji seramai 13,096 pekerja," kata agensi statistik awam tersebut.


Tambah DOSM, Selangor muncul sebagai negeri yang merekodkan jumlah premis halal terbanyak di negara ini iaitu 3,404, diikuti Johor (1,417), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,126) dan Perak (1,039).


Selangor juga kata jabatan berkenaan, kekal mendahului dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, manakala Johor pula masih menerajui sektor pertanian.


Menariknya, sebanyak 1,285 perniagaan halal dimiliki wanita, bersamaan 10.3% daripada keseluruhan premis, yang menjana output kasar berjumlah RM15.1 bilion dan nilai tambah mencecah RM4.1 bilion.


"Ia menggaji seramai 30,356 pekerja dengan pembayaran gaji sebanyak kira-kira RM900 juta, manakala sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana mewakili 62.4% atau 7,748 premis halal," kata DOSM.


Sektor berkenaan mencatatkan output kasar sebanyak RM86.7 bilion, nilai tambah pula RM22.8 bilion, serta penggajian 241,080 pekerja yang menerima RM8.2 bilion dalam bentuk bayaran upah atau gaji.


DOSM menegaskan bahawa data terbaharu menerusi Statistik Halal Malaysia 2022 itu mengukuhkan lagi peranan utama Malaysia sebagai peneraju industri halal di rantau Asia Tenggara sejak sekian lama.


Ia memperlihatkan pertumbuhan kukuh industri ini dari segi output, pekerjaan dan penyertaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi halal di ASEAN,” katanya. - DagangNews.com