India import minyak sawit Malaysia naik 16% pada Julai 2025, paras tertinggi dalam 9 bulan - MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

India import minyak sawit Malaysia naik 16% pada Julai 2025, paras tertinggi dalam 9 bulan - MPOC

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Import minyak sawit Malaysia oleh India melonjak 16% pada Julai 2025 kepada 301,000 tan metrik, sekali gus mencatatkan jumlah paling tinggi dalam tempoh sembilan bulan.


Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), peningkatan ini berlaku meskipun inventori minyak sawit Malaysia naik ke paras tertinggi dalam 19 bulan kepada 2.11 juta tan, didorong eksport perlahan.


Agensi itu menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal melebihi paras RM4,300 satu tan dalam tempoh terdekat, walaupun berlaku turun naik harga kepada sekitar RM4,500 satu tan baru-baru ini.


“Kekangan eksport minyak soya global dan pertumbuhan bekalan minyak sawit yang lebih perlahan berbanding permintaan biodiesel dijangka terus menyokong harga MSM,” jelas MPOC dalam kenyataan.


Bagaimanapun tambahnya, daya saing minyak sawit berbanding minyak soya dalam pasaran eksport akan terus menjadi faktor penentu kepada kekuatan harga semasa untuk produk komoditi berkenaan.


MPOC turut menyatakan bahawa inventori domestik minyak sawit Malaysia didapati telah meningkat secara konsisten sejak Februari 2025, namun tekanan bekalan tersebut dilihat sebagai masih lagi terkawal.


Di Indonesia, mandat biodiesel negara tersebut telah menyerap lebih satu juta tan minyak sawit setiap bulan sejak Februari 2025, sekali gus membantu dalam mengelakkan lebihan stok di pasaran global.


“Pasaran biofuel memberi pengaruh kuat terhadap keseluruhan pasaran minyak sayuran pada Julai dan Ogos,” kata MPOC, manakala permintaan domestik Amerika Syarikat (AS) terhadap biodiesel pula naik.


Situasi itu menyebabkan harga minyak soya di pasaran AS melonjak tinggi, mencatat premium AS$131 satu tan yang melebihi minyak soya Argentina dan AS$148 setiap tan melebihi minyak olein sawit Malaysia.


Dari segi bekalan, pengeluaran minyak sawit Malaysia mencapai kemuncak lebih awal daripada biasa pada Ogos 2024 iaitu sebanyak 1.89 juta tan, berbanding kebiasaan musim kemuncak setiap bulan Oktober.


Di Semenanjung Malaysia, pengeluaran pada Julai 2025 mencatat 1.12 juta tan, iaitu pengeluaran tertinggi bulan Julai dalam tempoh 10 tahun, serta prestasi bulanan paling kukuh dalam dekad ini.


"Kami menjangkakan pengeluaran di Semenanjung Malaysia telah pun mencapai kemuncak pada Julai 2025, atau akan memuncak pada Ogos 2025, sebelum menurun mulai September 2025," kata MPOC.


Walaupun Sabah dan Sarawak belum mencapai bulan puncak, sebarang penurunan pengeluaran di Semenanjung dari September dijangka mengehadkan pertumbuhan keseluruhan pengeluaran nasional bagi baki tahun ini.


Berdasarkan perkembangan itu, MPOC merumuskan stok minyak sawit Malaysia tidak dijangka mengalami peningkatan ketara pada September dan Oktober, walaupun inventori pada masa ini adalah kekal tinggi.


Stok berada pada paras tertinggi sejak awal 2024, dengan permintaan mampan dari India, pertumbuhan pasaran biodiesel di peringkat global dijangka menyokong pasaran minyak sawit. - DagangNews.com