Indeks Pengeluaran Perindustrian pada 2025 sederhana 2% disebabkan permintaan luar lemah - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian pada 2025 sederhana 2% disebabkan permintaan luar lemah - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 OktMBSB Research masih mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia sebagai terus sederhana kepada hanya kira-kira 2% pada 2025.


Firma penyelidikan tersebut menambah, ia juga adalah rendah berbanding 3.7% pada 2024, sejajar dengan permintaan luar yang perlahan dan kenaikan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS).


Ia menjangkakan pertumbuhan sederhana ini akan dipacu oleh permintaan domestik berterusan, meskipun tekanan luaran masih menjadi faktor risiko utama bagi pengeluaran perindustrian negara.


"Perbelanjaan pengguna tempatan dan aktiviti perniagaan domestik dijangka terus merangsang produk yang berorientasikan pasaran tempatan," kata MBSB Research dalam nota kajiannya hari ini.


Situasi berkenaan tambah firma tersebut, akan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan IPI sepanjang tahun ini, tanpa terjejas disebabkan faktor ketidaktentuan geopolitik antarabangsa.


Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), IPI Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan 4.9% pada Ogos 2025, dipacu oleh sektor perlombongan sebanyak 16.8% dan sektor pembuatan (2.8%).


Bagaimanapun kata MBSB Research, tarif AS yang tinggi terutama ke atas produk berkaitan China, dan permintaan lemah global dijangka menekan segmen eksport dan pengeluaran berasaskan eksport.


“Kesan daripada dasar perdagangan AS yang lebih bersifat perlindungan serta ketegangan China-AS masih menjadi cabaran utama kepada sektor eksport Malaysia,”* menurut laporan firma berkenaan.


Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 akan meningkat kepada 4.0%, berbanding 3.9% pada tempoh suku yang sebelumnya.


Perkembangan tersebut selaras dengan bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi sektor pembuatan Malaysia pada September 2025 sebanyak 49.8, yang menandakan aktiviti industri adalah stabil.


Namun katanya, pertumbuhan suku keempat 2025 dijangka sederhana kerana permintaan luar masih tertekan dan ia terus mengekalkan unjuran KDNK 2025 kepada 4.3%. - DagangNews.com