KUALA LUMPUR 12 Ogos — Indeks harga seunit keluli mencatatkan penurunan pada Julai 2025, antara 0.2 peratus hingga 3.5 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tertinggi direkodkan di Kuching (-3.5%), diikuti Sibu (-1.5%) serta Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.8%).
“Bagaimanapun, terdapat sedikit peningkatan dicatatkan di beberapa kawasan termasuk Perak (1.2 peratus), diikuti Terengganu dan Kelantan (0.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi indeks harga unit bahagian keluli dan logam pada bulan itu, beliau menambah, ia mencatatkan sedikit peningkatan, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus.
Sebaliknya kata Mohd Uzir, indeks harga seunit simen pula didapati masih lagi kekal tidak berubah di seluruh negara pada Julai 2025 berbanding data direkodkan DOSM untuk bulan yang sebelumnya.
Tambahnya, indeks harga seunit pasir juga kekal di kebanyakan lokasi Semenanjung Malaysia, kecuali sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Indeks bahan ini mencatatkan peningkatan di Sabah dan Sarawak, antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus, dengan tertinggi di Kota Kinabalu (0.5%), diikuti Tawau dan Kuching (0.2%),” katanya.
Sementara itu Mohd Uzir berkata, harga purata seunit keluli; yang terdiri daripada palang bulat keluli lembut dan palang tegangan tinggi Mycon 60, pula meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus.
DOSM tambahnya, mencatatkan harga baharu RM3,488.65 setiap tan, daripada RM3,480.10 pada Jun 2025, manakala harga purata simen Portland biasa kekal tidak berubah pada RM23.80 setiap beg 50 kilogram.
Beliau juga melaporkan Indeks Kos Bahan Binaan (BCI) dengan bar keluli, mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia, meningkat antara 0.1 peratus dan 3.5 peratus pada Julai 2025.
Peningkatan tersebut kata Mohd Uzir, dicatatkan bagi semua kategori bangunan kecuali di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. - DagangNews.com








