Indeks Harga Pengguna berisiko naik kepada 2.5% berikutan peningkatan harga minyak - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Harga Pengguna berisiko naik kepada 2.5% berikutan peningkatan harga minyak - CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 AprilIndeks Harga Pengguna (IHP) dijangka meningkat kepada 2.5% pada 2026, lebih tinggi daripada unjuran sebelumnya, susulan tekanan kos akibat kenaikan harga minyak mentah global.


CGS International (CGSI) dalam analisis berkata, semakan naik unjuran inflasi itu dibuat selepas mengambil kira lonjakan harga diesel dan petrol yang berpotensi memberikan kesan rantaian lebih meluas.


Tambah firma penyelidikan tersebut, peningkatan harga bahan api berkenaan secara tidak langsung boleh menaikkan lagi kos pengangkutan kenderaan serta harga barangan runcit di peringkat pengguna.

 

 

 

 

 


“Risiko inflasi di seluruh negara pada ketika ini didapati lebih condong ke arah trend kenaikan, terutama daripada kesan ‘pass-through’ atau pemindahan kos kepada pengguna,” katanya dalam nota.


Selain itu, CGSI merujuk anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menilai ekonomi negara berkembang 5.3% tahun ke tahun (YoY) pada suku pertama 2026, berbanding 6.3% pada suku sebelumnya.


Pertumbuhan sederhana tersebut jelas firma penyelidikan itu didorong oleh semua sektor utama kecuali perlombongan yang menguncup 1.1% akibat penurunan pengeluaran minyak mentah dan gas asli.


Walaupun berdepan ketidaktentuan global termasuk konflik di rantau Timur Tengah, ia masih lagi mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.8%, disokong beberapa faktor.


"Antara pemacu utama termasuk daya tahan perbelanjaan pengguna dilindungi oleh mekanisme subsidi seperti BUDI95, selain kitaran harga komoditi yang tinggi dijangka merangsang eksport," kata CGSI.


Selain itu ujarnya, gangguan rantaian bekalan di pasaran domestik dijangka terkawal dalam tempoh terdekat, dengan PETRONAS sendiri memberi jaminan bekalan bahan api mencukupi sehingga Jun 2026.


Firma itu namun mengingatkan tekanan inflasi tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna, di samping pelarasan semula perbelanjaan fiskal ke arah subsidi berbanding pelaburan produktif.


Tambahan pula jelas CGSI, data terkini DOSM menunjukkan kadar inflasi utama meningkat kepada 1.7% pada Mac 2026, naik berbanding 1.4% pada bulan sebelumnya, didorong kenaikan kos pengangkutan.

 

minyak_DagangNews


"Kenaikan IHP pada bulan berkenaan adalah sejajar dengan lonjakan harga minyak mentah global dan kekurangan bekalan susulan isu perang di Timur Tengah meletus sejak 28 Februari 2026," ujarnya.


Inflasi teras turut meningkat kepada 2.1%, menandakan tekanan harga semakin meluas dalam ekonomi, dan walaupun diesel hanya ada wajaran kecil dalam IHP, impaknya lebih besar melalui kos logistik.


Harga diesel di sebahagian besar negara Asia tambah CGSI, dilaporkan melonjak melebihi AS$288 (RM1,138) setong pada awal April 2026 sebelum susut, namun masih tinggi berbanding paras biasa.


Risiko utama daripada situasi peningkatan harga berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, adalah pemindahan kos oleh peniaga kepada pengguna, yang boleh mempercepatkan tekanan inflasi.


"Justeru, kami menjangkakan inflasi bagi April 2026 yang akan diumumkan DOSM pada bulan depan boleh melepasi paras 2% sebelum terus meningkat dalam bulan-bulan berikutnya lagi," katanya.

 

 

 

 

 


Unjuran baharu ini juga tambah CGSI, mengambil kira andaian harga minyak mentah Brent pada sekitar AS$90 (RM355) setong, yang lebih tinggi berbanding anggaran terdahulu AS$65 (RM257) setong.


Secara keseluruhan, walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal stabil, peningkatan tekanan inflasi dijangka menjadi cabaran utama yang perlu dipantau dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com