KUALA LUMPUR 29 Dis — Malaysia mencatat import semakin tinggi daripada Amerika Syarikat (AS) pada 2024, dengan nilai pengimportan didapati naik kira-kira 42.1% kepada sebanyak RM126.3 bilion.
Menurut Malaysia Trade Statistics Review (MTSR) 2025, eksport negara ini ke AS pula sebanyak RM198.9 bilion, meskipun nilai berkenaan juga mencatat pertumbuhan 23.3% tahun ke tahun (YoY).
Secara keseluruhan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, jumlah dagangan naik 30% kepada RM325.2 bilion pada 2024, menandakan hubungan kukuh walaupun wujud ketidaktentuan geopolitik global.
"Eksport Malaysia ke AS kekal didorong oleh barang elektrik dan elektronik, yang menyumbang 60.4% daripada nilai eksport," kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan.
Beliau menambah, produk semikonduktor pula menyumbang sebanyak 46.8%, manakala pelbagai perkakas telekomunikasi menjana kira-kira 19.4%, serta jentera peralatan elektrik mencatatkan 17.0%.
Barangan optik dan saintifik jelasnya, merekodkan eksport tertinggi iaitu RM12.9 bilion, meningkat 14.3%, manakala produk jentera, kelengkapan dan peralatan melonjak 33.6% kepada RM8.8 bilion.
Produk getah juga tambah Mohd Uzir, meningkat kepada RM7.4 bilion, hasil peralihan kepada produk hiliran yang bernilai tinggi, termasuk sarung tangan getah dan barangan kejuruteraan industri.
"Sementara produk perkayuan Malaysia ke pasaran AS pula didapati meningkat kepada RM6.0 bilion sepanjang tahun lepas, sekali gus terus mengekalkan trend positif sejak 2015," kata beliau.
Tegasnya, walaupun Malaysia merekod import lebih tinggi daripada AS, perdagangan kedua-dua hala kekal kukuh, menjadikan negara berkenaan sebagai rakan dagangan utama Malaysia. - DagangNews.com








