KUALA LUMPUR 23 April - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia pada 2025 kepada 4.1 peratus berbanding 4.7 peratus sebelumnya, mencerminkan semakan yang lebih luas di seluruh rantau ASEAN.
Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025, bertajuk 'Persimpangan Kritikal di Tengah Anjakan Dasar, organisasi berkenaan juga meramalkan bahawa ekonomi Malaysia hanya berkembang sebanyak 3.8 peratus pada 2026 berikutan kelembapan serantau.
IMF turut memotong unjuran pertumbuhan globalnya pada 2025 kepada 2.8 peratus, turun sebanyak 0.5 mata peratusan daripada anggaran pada Januari 2025.
Dalam kalangan rakan serantau Malaysia, IMF turut mengurangkan prospek Indonesia pada 2025 kepada 4.7 peratus daripada 5.1 peratus.
Filipina kini dijangka berkembang sebanyak 5.5 peratus, turun daripada 6.1 peratus, manakala ramalan Thailand disemak semula kepada 1.8 peratus berbanding 2.9 peratus.
IMF berkata, peralihan dasar utama sedang membentuk semula landskap perdagangan global dan mencetuskan semula ketidaktentuan, yang sekali lagi menguji daya tahan ekonomi global.
"Sejak Februari 2025, Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan pelbagai tarif terhadap rakan perdagangannya sendiri, dengan beberapa negara daripadanya telah menggunakan langkah balas.
"Pasaran pada mulanya tenang, sehingga pengumuman tarif AS pada 2 April 2025, mencetuskan kejatuhan bersejarah dalam indeks ekuiti utama dan lonjakan dalam hasil bon, diikuti dengan pemulihan separa dan pengurangan tambahan diumumkan pada dan selepas 9 April," katanya.
Selain itu, IMF mengulangi bahawa ekonomi global berada di persimpangan kritikal, dengan tanda-tanda penstabilan muncul pada sebahagian besar 2024, selepas tempoh kejutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini secara berpanjangan dan lebih mencabar.
"Inflasi, turun daripada paras tertinggi berbilang dekad, mengekori penurunan secara beransur-ansur walaupun bergelombang ke arah sasaran bank pusat. Pasaran buruh kembali normal, dengan kadar pengangguran dan kekosongan kembali ke tahap prapandemik," tambahnya.
Mengenai produktiviti, IMF menyatakan percanggahan yang semakin meluas, kerana aktiviti pembuatan terus beralih daripada ekonomi maju kepada pasaran sedang pesat membangun.
Pengeluaran perindustrian menjunam di semua negara pada permulaan wabak Covid-19 tetapi laluan pemulihan itu katanya, adalah berbeza.
Pengeluaran melonjak di China serta berkembang dalam ekonomi Kesatuan Eropah (EU) yang lebih kecil dan ASEAN-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand), namun Jepun dan negara-negara EU terbesar bergelut kembali ke tahap pra-pandemik,” tambahnya.
Sementara itu, IMF berkata bahawa pengeluaran perindustrian di AS telah pulih lebih kukuh berbanding ekonomi maju lain.
Mengenai komoditi, ia mengunjurkan harga bahan api turun sebanyak 7.9 peratus pada 2025, diterajui oleh penurunan harga minyak sebanyak 15.5 peratus dan kejatuhan harga arang batu sebanyak 15.8 peratus.
Penurunan ini dijangka sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan 22.8 peratus dalam harga gas asli, didorong oleh cuaca lebih sejuk daripada jangkaan dan pemberhentian aliran gas Rusia ke Eropah melalui Ukraine sejak Januari 2025.
Harga komoditi bukan bahan api diramalkan meningkat sebanyak 4.4 peratus pada 2025. - DagangNews.com








