Iltizam PDP berjaya perkasa graduan Bumiputera, 90% peserta ditawar kerja profesional sejak 2012 – Ekuinas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Iltizam PDP berjaya perkasa graduan Bumiputera, 90% peserta ditawar kerja profesional sejak 2012 – Ekuinas

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 SeptEkuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menerusi bahagian tanggungjawab sosial korporat, Iltizam terus melakar kejayaan melalui Program Pembangunan Profesional (Iltizam PDP).


Sejak diperkenalkan pada 2012, program ini membantu dalam usaha memperkasa seramai 732 graduan Bumiputera, terutamanya lepasan daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah atau B40.


Kata Ekuinas, secara purata 90% peserta berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, kebanyakan dalam bidang sepadan dengan kelayakan dan minat masing-masing.


"Iltizam PDP diwujudkan khusus bagi membantu graduan menganggur, terutama yang berdepan kekangan akses kepada bimbingan, jaringan profesional dan pendedahan industri," katanya dalam kenyataan.


Kesemua elemen berkenaan tambah firma ekuiti persendirian berkaitan kerajaan itu, adalah penting untuk peserta memasuki pasaran tenaga kerja profesional yang semakin mencabar pada ketika ini.


Peserta program akan ditempatkan sebagai Graduate Associate selama 12 bulan dengan gaji RM2,500 sebulan di syarikat-syarikat ternama, selain menerima latihan intensif dalam pelbagai aspek.
 

Ekuinas
HIZWANI HASSAN


Ia katanya, meliputi kemahiran insaniah, komunikasi, penjenamaan diri, serta pendedahan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri.


Menurut Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan, Iltizam PDP bukan sekadar program penempatan kerja, malah membina ekosistem bimbingan dan sokongan secara jangka panjang.


“Ramai peserta adalah generasi pertama dalam keluarga yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah, tetapi tiada jaringan untuk bantu mereka tembus ke dunia profesional," katanya.


Sehubungan itu tambahnya, skim berkenaan diwujudkan untuk merapatkan jurang tersebut dengan turut menyokong agenda GEAR-uP oleh kerajaan Malaysia, terutamanya di bawah tonggak 'Raise the Floor'.


Program tersebut jelas Hizwani, begitu menekankan pembangunan kemahiran asas untuk memastikan semua graduan yang dilahirkan nanti supaya lebih bersedia menghadapi realiti industri semasa.
 

Ekuinas


Menariknya, alumni Iltizam PDP yang berjaya kini kembali menyumbang kepada program sebagai mentor dan pembimbing kepada peserta baharu dan membina satu jaringan sokongan kukuh sesama graduan.


"Ini mewujudkan rantaian kejayaan yang mampan dengan skin ini merupakan antara inisiatif utama di bawah teras pendidikan selain dua fokus utama lagi iaitu keusahawanan dan komuniti," kata beliau.


Permohonan untuk menyertai Iltizam PDP 2026 tambahnya, sudah dibuka Ekuinas dan akan ditutup pada 30 September 2025 dengan graduan Bumiputera yang memenuhi kriteria tertentu digalakkan memohon.


Calon perlu berumur 30 tahun ke bawah, belum bekerja sehingga tarikh tutup permohonan, pendapatan isi rumah kasar kurang RM5,000, graduan universiti atau kolej tempatan dan ada motivasi positif


Mereka yang berminat untuk mengetahui maklumat lebih lanjut atau permohonan, sila layari laman pautan https://iltizampdp.ekuinas.com.my/ - DagangNews.com