IJN anjur Persidangan Kegagalan Jantung, bincang usaha tangani lonjakan kes | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJN anjur Persidangan Kegagalan Jantung, bincang usaha tangani lonjakan kes

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Feb — Malaysia ketika ini dilaporkan sedang bergelut menghadapi krisis penyakit jantung yang semakin meruncing sehingga memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan awam dan merugikan ekonomi negara melebihi RM766.3 juta setiap tahun.
 

Menurut kenyataan Institut Jantung Negara (IJN), usaha serius diperlukan kerana di sebalik beban kos kewangan, keadaan itu terus meragut nyawa ramai pesakit lebih awal, mengganggu keluarga, dan mengurangkan kualiti hidup beribu-ribu rakyat di seluruh Malaysia.
 

Justeru menyedari betapa kritikal isu itu, ia menganjurkan Persidangan Kegagalan Jantung 2025 edisi kedua di sini hari ini dengan menghimpunkan lebih 500 pakar kardiologi, penyelidik, profesional penjagaan kesihatan dan penggubal dasar terkemuka dunia membincangkan strategi.
 

“Acara ini bukan sekadar perhimpunan pakar, ia adalah seruan untuk bertindak, di IJN, kami percaya inovasi dan kecemerlangan dalam penjagaan jantung mesti seiring dengan kebolehcapaian dan ekuiti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib.
 

“Perbincangan dan kerjasama yang berlaku di sini akan menjadi pemangkin kepada perubahan sebenar dalam cara kegagalan jantung didiagnosis, dirawat dan diuruskan."
 

Menyuarakan komitmen tersebut, Ketua Kardiologi dan Pengerusi Penganjur Persidangan, Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menangani beban kegagalan jantung yang semakin meningkat. 
 

"Ini lebih daripada perbincangan saintifik, ia adalah pergerakan untuk membentuk semula masa depan penjagaan jantung. Dengan menyatukan kepakaran seluruh dunia, kami boleh melaksanakan strategi berani untuk mentakrifkan semula pendekatan rawatan dan meningkatkan hasil pesakit."
 

Bertemakan 'Memajukan Kerjasama Global dalam Pengurusan Kegagalan Jantung', persidangan selama tiga hari itu menampilkan barisan ucaptama yang mantap, siri perbincangan panel pakar dan bengkel interaktif.
 

Ini dapat dilihat menerusi siri perbincangan pula tertumpu kepada teknologi perubatan terobosan, model penjagaan berpusatkan pesakit, dan strategi pencegahan inovatif yang bertujuan untuk membendung peningkatan insiden kegagalan jantung.
 

Dengan penyakit jantung yang terus menjadi punca utama kematian di Malaysia, IJN kekal teguh dalam misinya untuk meningkatkan penjagaan pesakit dan memacu penyelesaian yang akan mengubah landskap penjagaan kesihatan kardiovaskular negara. - DagangNews.com