IJM perlu pelbagaikan projek tanpa bergantung tinggi kepada kontrak pusat data, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM perlu pelbagaikan projek tanpa bergantung tinggi kepada kontrak pusat data, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 April – Kebergantungan yang semakin tinggi kepada projek pusat data (DC) ketika ini menjadi isu kritikal bagi IJM Corporation Berhad dan wajar ada keseimbangan, menurut penganalisis.


Bagaimanapun dua firma berpandangan positif terhadap prospek syarikat, namun berbeza penilaian terhadap risiko pertumbuhan, khususnya dalam landskap pembinaan yang tertumpu kepada segmen DC.


RHB Research masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) RM3.15, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 41% serta jangkaan hasil dividen 3.6% bagi FY27.


"Kontrak terbaharu daripada Sime Darby Property Berhad bagi kerja utama DC di Elmina Business Park merupakan kemenangan pertama IJM bagi FY27 dan kontrak yang ketujuh dalam segmen itu," katanya.


Dengan pemerolehan tender itu, jumlah projek DC yang diperoleh kini mencecah kira-kira RM5 bilion, menjadikan segmen tersebut menyumbang sekitar 45% hingga 50% daripada buku tempahan domestik.


Justeru RHB Research menjangka margin kasar 8%, selain tidak menolak kemungkinan syarikat tersebut turut meraih pakej kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) bernilai RM500 juta bagi projek yang sama.


Nilai buku tempahan semasa IJM tambah firma penyelidikan tersebut, dianggarkan sekitar RM8.2 bilion, tidak termasuk kira-kira RM6.5 bilion projek luar negara di Singapura dan United Kingdom.


"Dari segi prospek, kami melihat potensi kontrak baharu dalam segmen DC di Lembah Klang dan Johor, selain peluang projek perumahan penjawat awam di Indonesia serta projek infrastruktur," jelasnya.


Risiko utama kata RHB Research, namun kekal kepada isu kelembapan perolehan kontrak baharu serta ketidaktentuan berkaitan dengan tawaran pengambilalihan secara sukarela oleh Sunway Berhad.
 

 

Artikel berkaitan: IJM menang tender RM658 juta bina pusat data di Elmina

 

IJM_DagangNews


Public Investment Bank turut mengekalkan penarafan 'outperform' dengan TP sama iaitu RM3.15 sesaham, menyifatkan kontrak terkini RM658 juta itu sejajar jangkaan penambahan buku tempahan.


Kontrak itu melibatkan pembinaan, ujian dan pentauliahan bangunan pusat data serta infrastruktur berkaitan, dengan kerja dijangka bermula suku kedua 2026 dan siap menjelang suku ketiga 2027.


"Kami berpandangan yang kontrak tersebut meningkatkan buku tempahan IJM kepada sekitar RM15.9 bilion, termasuk kepentingan dalam syarikat bersekutu, iaitu kenaikan kira-kira 4.3%," katanya.


Dengan margin satu digit tinggi jelas PublicInvest, projek terbaharu itu dianggarkan mampu memberi sumbangan sekitar 4% kepada keseluruhan keuntungan bersih kumpulan bagi tempoh FY26 hingga FY27.


Firma itu bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran hasil kerana nilai kontrak ini sudah diambil kira dalam andaian penambahan buku tempahan sebanyak RM8 bilion sebelum ini.


Secara keseluruhan, ia melihat prospek positif untuk IJM didorong oleh ledakan pembangunan DC di seluruh negara, tetapi menekankan keperluan syarikat mengimbangi kebergantungan sektor tersebut.


"Kami berpendapat, kumpulan ini wajar melaksanakan kepelbagaian projek bagi memastikan pertumbuhan mampan secara jangka panjang tanpa sebarang masalah," kata PublicInvest. - DagangNews.com