IJM menang tender RM658 juta bina pusat data di Elmina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM menang tender RM658 juta bina pusat data di Elmina

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 April – IJM Corporation Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, IJM Construction Sdn Bhd (IJMC), memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM658.01 juta bagi kerja-kerja utama bangunan sebuah pusat data berskala besar di Elmina Business Park, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata kontrak tersebut dianugerahkan oleh Sime Darby Property (EBP Asset II) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat kepada Sime Darby Property Berhad.

 

Menurut syarikat itu, skop kerja melibatkan pembinaan, penyiapan, pengujian serta pentauliahan sebuah bangunan pusat data termasuk kemudahan sokongan berkaitan.

 

“Kontrak berkenaan merupakan pakej kedua (Package 2) bagi projek pusat data tersebut, susulan penganugerahan pakej pertama kepada IJMC pada 24 Oktober 2025.

 

“Projek itu dianugerahkan melalui tender terbuka, sekali gus tidak diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia,” katanya.

 

Walaupun IJM dan Sime Darby Property merupakan dua entiti berasingan, kedua-duanya mempunyai pemegang saham utama yang sama, iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang memiliki kepentingan besar dalam kedua-dua syarikat tersebut.

 

Pembinaan projek dijadualkan bermula pada suku kedua 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2027.

 

Syarikat itu berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 2027.

 

Selain itu, projek tersebut turut dijangka meningkatkan buku pesanan IJM serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kontraktor utama dalam segmen pembinaan pusat data.

 

Lembaga pengarah IJM berpandangan bahawa projek ini adalah dalam kepentingan terbaik syarikat dan akan menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com