IJM, Muhibbah diyakini raih banyak laba daripada projek ECRL - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM, Muhibbah diyakini raih banyak laba daripada projek ECRL - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Jun — IJM Corporation Berhad dan Muhibbah Engineering (M) Berhad adalah antara syarikat pembinaan yang dijangka meraih banyak manfaat daripada kesan limpahan projek jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, projek infrastruktur rel mega sepanjang 665 kilometer itu sebenarnya menyediakan landasan sambungan terus untuk perkhidmatan kereta api barang kepada dua pelabuhan utama di Pelabuhan Klang, Selangor.


IJM dijangka memperoleh manfaat sebaik sahaja perkhidmatan ECRL beroperasi kerana ia memiliki dan mengurus Pelabuhan Kuantan di Pahang melalui 60 peratus kepentingannya dalam konsortium dengan baki dipegang oleh Guangxi Beibu dari China.


“Dengan memanfaatkan rangkaian ECRL, IJM percaya perkhidmatan pelbagai mod ini akan meningkatkan capaian logistik pelabuhan itu sebagai pintu masuk utama ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” kata CIMB Securities dalam satu nota kajiannya.


Ia memberi saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM3.40, sambil menyatakan yang IJM memeterai memorandum persefahaman dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd pada 10 Jun 2024 bagi memaksimumkan potensi perkhidmatan logistik dalam koridor ECRL.


Sementara itu, firma tersebut berkata, keuntungan sama dijangka diraih Muhibbah Engineering, yang memiliki hak untuk membangunkan bank tanah Hab Maritim Kuantan (KMB) yang terletak secara strategik betul-betul di sebelah Pelabuhan Kuantan.


Kata CIMB Securities, hab berkeluasan 202.35 hektar itu yang dianggarkan bernilai RM2.1 bilion untuk dibangunkan, disasarkan dapat siap pada 2034, serta memiliki fasiliti pembinaan kapal bertaraf dunia serta melengkapkan prospek teguh ECRL.


Berdasarkan prospek potensi yang cukup positif daripada projek KMB itu setelah disiapkan, firma penyelidikan berkenaan telah mengeluarkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat pembinaan kejuruteraan tersebut dengan TP adalah RM1.10.


Mengulas mengenai aktiviti hiliran pula, ia menjangkakan Malayan Cement Berhad berpeluang baik mendapatkan banyak tempahan tambahan daripada limpahan ECRL, kerana ia terus membekalkan simen kepada projek itu secara bukan eksklusif.


Sehubungan itu, CIMB Securities memberikan saranan ‘beli’ dengan TP RM6.35 sesaham memandangkan kesan pertumbuhan ekonomi daripada jajaran landasan ECRL itu sebenarnya adalah dalam jangkaan kumpulan berkenaan sendiri.


Firma tersebut menyatakan bahawa sehingga akhir April 2025, kemajuan pembinaan ECRL telah berjaya mencapai sebanyak 82.5 peratus dan dari segi tempoh, ia kira-kira dua setengah bulan lebih awal daripada jadual asal. - DagangNews.com