KUALA LUMPUR 3 April - IJM Corporation Berhad (IJM) menegaskan tiada tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat (VTO) ke atas kumpulan itu dikemukakan pada 9 Januari 2026, tiga hari sebelum pengumuman rasmi - seperti didakwa wakil Sunway Berhad.
Dalam kenyataan hari ini IJM turut menegaskan tidak terlibat dalam perbincangan pra-tawaran dengan pemegang saham seperti didakwa wakil Sunway dalam laporan kepada media.
"Syarikat ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan yang mungkin diadakan oleh Sunway dengan mana-mana pemegang saham sebelum pengumuman VTO dibuat adalah tanpa pengetahuan atau penglibatan Lembaga Pengarah atau Pengurusan IJM," kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu IJM sekali lagi menasihati pemegang saham menilai tawaran Sunway berdasarkan Pekeliling Nasihat Bebas, pengumuman rasmi Syarikat, serta nilai asas, kedudukan strategik dan prospek masa depan IJM.
"Penasihat Bebas, M&A Securities Sdn Bhd, menyimpulkan bahawa Tawaran tersebut adalah tidak adil dan tidak munasabah. Lembaga Pengarah mengulangi syor agar pemegang saham menolak Tawaran tersebut," kata kenyataan itu.
Berikut kenyataan penuh IJM merujuk kepada laporan media terkini dan komen awam oleh wakil Sunway berhubung VTO ke atas IJM.
1. Urutan peristiwa menjelang pengumuman VTO pada 12 Januari 2026
IJM merujuk kepada kenyataan berikut yang dilaporkan dalam New Straits Times pada 2 April:
“Selepas beberapa minggu perbincangan dengan pengawal selia, Sunway secara rasmi mengemukakan tawarannya pada 9 Januari. Cheah menyatakan bahawa beliau sendiri telah menghubungi Pengerusi IJM Tan Sri Krishnan Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Lee Chun Fai secara terbuka, menjemput mereka untuk berbincang mengenai cadangan tersebut.”
Syarikat ingin menjelaskan bahawa tiada tawaran dikemukakan kepada IJM pada 9 Januari 2026.
Bagi memastikan rekod awam kekal tepat, Syarikat menggariskan urutan peristiwa seperti berikut:
9 Januari: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan (GCEO) IJM menerima permintaan daripada Tan Sri Jeffrey Cheah dari Sunway untuk mengadakan mesyuarat pada 10 Januari. Memandangkan Pengerusi IJM berada di luar negara ketika itu, mesyuarat dijadualkan semula pada 12 Januari 2026.
10 Januari: IJM menerima surat daripada Sunway yang meminta penggantungan dagangan sahamnya pada 12 Januari.
12 Januari (9.00 pagi): Dagangan saham IJM digantung.
12 Januari (12.30 tengah hari): Satu mesyuarat makan tengah hari diadakan antara wakil Sunway dan Pengerusi serta GCEO IJM. Dalam mesyuarat ini, IJM dimaklumkan bahawa Notis Tawaran Pengambilalihan Sukarela Bersyarat (Notis VTO) akan diserahkan kepada IJM pada petang hari yang sama. Tiada perbincangan mengenai butiran cadangan dilakukan kerana VTO akan dibuat terus kepada pemegang saham IJM.
12 Januari (4 petang): IJM menerima Notis VTO daripada Maybank Investment Bank Berhad, penasihat utama Tawaran.
12 Januari (waktu malam): Kedua-dua Sunway dan IJM membuat pengumuman awam mengenai VTO.
2. IJM tidak terlibat dalam perbincangan pra-Tawaran dengan pemegang saham
IJM merujuk kepada satu lagi kenyataan yang dilaporkan dalam New Straits Times pada 2 April:
“Cheah mendedahkan bahawa perbincangan awal dengan institusi-institusi ini adalah menggalakkan. Apabila Sunway mula mengemukakan cadangannya pada awal Januari, maklum balas daripada GLIC adalah secara umumnya positif, dengan ramai yang mengakui rasional komersial di sebalik urus niaga tersebut.”
Syarikat ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan yang mungkin diadakan oleh Sunway dengan mana-mana pemegang saham sebelum pengumuman VTO dibuat adalah tanpa pengetahuan atau penglibatan Lembaga Pengarah atau Pengurusan IJM.
3. Mengenai cadangan pembahagian kerja dan implikasinya kepada pemegang saham
IJM merujuk kepada kenyataan berikut yang dilaporkan dalam The Edge pada 2 April:
“Kekuatan mereka (IJM) adalah dalam pembinaan awam. Kami mungkin akan membida projek Transit Aliran Massa (MRT) atau Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang di pihak tersebut, manakala projek pusat data akan dilakukan oleh pihak Sunway.”
IJM mengambil maklum kenyataan yang mencadangkan kemungkinan pembahagian peranan antara kedua-dua kumpulan, di mana IJM akan menumpukan kepada projek pembinaan awam dan infrastruktur manakala segmen pertumbuhan pesat seperti pusat data akan diusahakan oleh Sunway.
Sebarang had terhadap penyertaan IJM dalam segmen atau kontrak tertentu menimbulkan kebimbangan dan mungkin tidak memihak kepada kepentingan terbaik pemegang saham IJM yang kekal.
Penegasan semula syor Lembaga IJM dan penilaian terhadap Tawaran
Pemegang saham dinasihatkan untuk merujuk kepada Pekeliling Nasihat Bebas bertarikh 13 Mac 2026, di mana Penasihat Bebas, M&A Securities Sdn Bhd, menyimpulkan bahawa Tawaran tersebut adalah tidak adil dan tidak munasabah.
Lembaga Pengarah mengulangi syor agar pemegang saham menolak Tawaran tersebut.
Tawaran ini juga perlu dinilai dalam konteks strategik yang sewajarnya. IJM kini berada pada tahap berbeza dalam kitaran pelaburannya, dengan aset-aset utama seperti konsesi infrastruktur sedang beralih daripada fasa pembangunan kepada fasa operasi.
Perbandingan yang hanya berasaskan margin semasa atau pendapatan jangka pendek tidak mencerminkan sepenuhnya nilai serta potensi masa hadapan aset-aset tersebut.
Sehubungan itu, pemegang saham dinasihatkan untuk menilai Tawaran Sunway berdasarkan Pekeliling Nasihat Bebas, pengumuman rasmi Syarikat, serta nilai asas, kedudukan strategik dan prospek masa depan IJM. - DagangNews.com








