IJM Corp raih kontrak RM873.9 juta kerja mekanikal pusat data daripada Pearl Computing di Elmina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM Corp raih kontrak RM873.9 juta kerja mekanikal pusat data daripada Pearl Computing di Elmina

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 OktIJM Corporation Berhad melalui anak syarikatnya, IJM Construction Sdn Bhd, menerima kontrak yang bernilai sebanyak RM873.9 juta daripada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd.


Kata syarikat tersebut, tender terbaharu berkenaan melibatkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) untuk projek sebuah pusat data berskala besar yang terletak di Elmina Business Park, Selangor.


Tambah kumpulan itu, kontrak tersebut meliputi kerja-kerja pemasangan dan penyelarasan sistem mekanikal, elektrikal, keselamatan, serta telekomunikasi bagi satu dewan pusat data berkenaan. 


"Ia turut merangkumi kerja-kerja pentauliahan sistem, penyediaan perabot pejabat dan peralatan sokongan yang berkaitan," jelas IJM Corporation dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Surat kontrak tersebut yang diperoleh pada 29 Oktober 2025 merupakan kontrak jenis bina sahaja dan dijadualkan hanya bermula pada suku ketiga 2026, dengan jangka siap menjelang suku pertama 2028.


Kumpulan kejuruteraan infrastruktur dan pembangunan hartanah itu menjelaskan yang projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan syarikat mulai tahun kewangan 2027.


IJM Corporation turut mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama serta pihak berkaitan memiliki sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek berkenaan. - DagangNews.com