KUALA LUMPUR 3 Okt – IJM Corporation Berhad berpotensi besar dalam mencatat lonjakan nilai ketara menerusi operasi hartanah luar negaranya di United Kingdom (UK), menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan pendapatan namun dijangka hanya bermula pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2028 (FY28) dan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat ini.
Ia turut tidak mengubah harga sasaran sesaham berdasarkan penjumlahan bahagian iaitu RM3.18 dan jika sumbangan operasi UK sebanyak RM149.9 juta diambil kira, potensi boleh mencecah pula RM4.02.
“Kami kekal positif terhadap aset IJM di negara itu yang kukuh dan berdaya maju, namun sumbangan kewangan bermakna dijangka dalam tempoh tiga tahun akan datang,” jelas Maybank IB dalam notanya.
Pasukan penyelidikan firma itu baru-baru ini melawat lima aset utama milik IJM di UK antaranya 25 Finsbury Circus yang dimiliki 70% dan merupakan sebuah bangunan pejabat komersial di pusat bandar raya London.
Selain itu, mereka meninjau hartanah 88 Royal Mint Street yang dimiliki kumpulan sebanyak 51%, Wheat Quarter (51%), Waterloo Station (50%) dan syarikat pembinaan JRL Group Holdings (50%)
Secara keseluruhan kata Maybank IB, aset-aset ini dinilai positif serta potensi besar menjana pendapatan dan nilai ekuiti jangka panjang dengan sumbangan terawal dijangka daripada JRL Group.
"Ia mampu memberi pulangan paling cepat dalam masa dua tahun akan datang, manakala projek yang lain pula diramal hanya dapat menyumbang kepada IJM selepas FY28," tambah firma berkenaan.
Sementara itu, Innova Partnership, usaha sama 50:50 IJM di UK, belum meraih sumbangan kewangan kerana masih menunggu kelulusan pembangunan tetapi ia optimis terhadap potensi besar tersebut.
Kata Maybank IB, sebanyak 10 tapak pembangunan berorientasikan transit dikenal pasti di UK dengan anggaran jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah £7.0 bilion (kira-kira RM39.6 bilion).
Angka itu jauh melebihi modal pasaran IJM sekarang hanya RM10 bilion, manakala kelulusan pertama projek dijangka dalam 2 tahun, menjadikan Innova sebagai pemangkin utama pertumbuhan masa depan.
“Walaupun sumbangan kewangan dari UK belum serta-merta, operasi ini menunjukkan potensi nilai jangka panjang yang kukuh dan membuka ruang lonjakan penilaian luar biasa," katanya. - DagangNews.com








