IHH Healthcare terdedah risiko nilai lemah lira setelah ambil alih hospital di Türkiye - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IHH Healthcare terdedah risiko nilai lemah lira setelah ambil alih hospital di Türkiye - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Ogos — Usaha IHH Healthcare Berhad mengambil alih 80 peratus kepentingan Bayindir Hospital di Türkiye mendedahkannya kepada risiko nilai lemah lira negara itu, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, mata wang berkenaan bukan sahaja rendah kadarnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), malah antara yang paling kurang stabil dalam pasaran pertukaran asing (forex).

 

Dalam jangka panjang tambahnya, situasi tersebut boleh memberi kesan negatif kepada kos operasi dan bekalan peralatan serta ubat-ubatan melibatkan tiga hospital yang dikendalikan di bawah Bayindir.

 

"Pelaburan ini memberi situasi ketidaktentuan pada penilaian dan kemungkinan pulangan yang rendah jika urus niaga dilaksanakan menerusi kadar lira," kata MBSB Research dalam satu nota kajiannya.

 

IHH Healthcare menerusi Acibadem Healthcare Group yang menguruskan sebanyak 24 hospital di Türkiye, baru-baru ini telah mengambil alih Bayindir daripada Bankasi dengan nilai AS$55 juta (RM232 juta).

 

Usaha itu selaras matlamat perluasan kumpulan di negara berkenaan kerana Acibadem memang terkenal dengan kualiti perkhidmatannya serta memiliki 3,841 doktor, dan lebih 25,000 pekerja profesional.

 

Mengulas lanjut, MBSB Research namun tetap positif dengan langkah IHH Healthcare kerana perolehan terkini itu dapat meningkatkan permintaan pelancongan perubatan bagi menerima rawatan lebih murah.

 

"Pengambilalihan Bayindir mampu membantu kumpulan ini menarik lebih ramai pesakit antarabangsa terutama dari Eropah dengan disokong faktor kelemahan mata wang lira berbanding dolar AS," katanya.

 

Bagaimanapun tambah firma tersebut, operator penjagaan kesihatan itu perlu menangani cabaran dalam penyepaduan kepada operasi dan gaya budaya kerja Acibadem yang berbeza daripada Bayindir sendiri.

 

Secara keseluruhannya, MBSB Research masih lagi berpandangan positif dengan perkembangan terbaharu ini kerana boleh disifatkan strategik dan berkemungkinan meraih keuntungan dalam jangka panjang.

 

Tambahnya, walaupun ia juga berhati-hati terhadap risiko penurunan, IHH Healthcare diyakini dapat mengimbangi masalah itu kepada peluang pelancongan perubatan untuk menyokong hospital di Turkiye.

 

"Berdasarkan perkembangan ini, kami tidak membuat perubahan anggaran pendapatan kumpulan ketika ini dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM8.18 sesaham," katanya. - DagangNews.com