KUALA LUMPUR 6 Nov - IHH Healthcare Berhad memaklumkan yang anak syarikatnya di Serbia, Acibadem Bel Medic Logistics DOO Beograd (ABM Logistics) berjaya menyelesaikan proses pembubaran sukarela.
Kumpulan tersebut berkata, proses likuidasi berkenaan dilaksanakan mengikut undang-undang di bawah Daftar Entiti Perniagaan, Agensi Pendaftaran Perniagaan Republik Serbia, berkuat kuasa 30 Oktober 2025.
Tambahnya, ABM Logistics ditubuhkan pada 28 Mac 2023, merupakan anak syarikat tidak langsung milik 90% IHH melalui Acibadem Saglik Yatirimlari Holding (ASYH), yang beribu pejabat di Istanbul, Türkiye.
"Subsidiari tersebut sebelum ini memang tidak pernah aktif serta langsung tiada operasi perniagaan perdagangan borong peralatan dan bahan perubatan dijalankan," maklum IHH kepada Bursa Malaysia.
Sehubungan itu jelas kumpulan berkenaan, proses likuidasi ABM Logistics secara sukarela adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan dan penjimatan kos kumpulan ASYH daripada kerugian.
IHH menegaskan, pembubaran tersebut tidak menjejaskan modal terbitan syarikat, pegangan pemegang saham utama, keuntungan atau aset bersih bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025.
Di samping itu tambahnya, langkah berkenaan tidak dijangka memberi sebarang impak operasi ke atas kumpulan secara keseluruhan memandangkan ABM Logistic sendiri tidak pun menjalankan perniagaan.
"Selain it, tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan ada sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam proses likuidasi ini," katanya. - DagangNews.com








