IGB catat untung susut 21.6% pada 9M25 susulan tiada jualan tanah, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IGB catat untung susut 21.6% pada 9M25 susulan tiada jualan tanah, kata PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Nov – Keuntungan kumulatif IGB Berhad pada sembilan bulan pertama 2025 susut 21.6% tahun ke tahun (YoY) kepada hanya RM261.9 juta berikutan tiada keuntungan jualan tanah berulang.


Menurut Public Investment Bank, situasi untuk kali ini adalah berbeza daripada 1QFY24 apabila kumpulan tersebut pernah berjaya mencatatkan keuntungan jualan tanah yang bernilai sebanyak RM108.7 juta.


Bagi tempoh 3QFY25 pula, syarikat berkenaan mencatatkan keuntungan bersih RM97.5 juta, naik 32.3% YoY atau 29.5% suku ke suku (QoQ), sejajar dengan jangkaan oleh firma penyelidikan tersebut sendiri.


"Perkembangan positif ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada pembangunan hartanah dan segmen perniagaan lain dikendalikan IGB," katanya dalam satu nota kajian hari ini.


Selain itu kata PublicInvest, hasil daripada aset runcit melalui IGB REIT meningkat 6.4% YoY kepada RM165.2 juta, dengan pendapatan bersih hartanah (NPI) bertambah 8.6% YoY kepada RM377.9 juta.


Situasi ini jelas firma berkenaan, disokong kadar sewaan tinggi di Mid Valley Megamall sebanyak 99.8% dan The Gardens Mall yang mencecah kira-kira 98.6%, serta kenaikan kadar penyewaan secara purata.


Pada tempoh tersebut tambahnya, The Mall dan Mid Valley Southkey merekodkan peningkatan pendapatan dan untung sebelum cukai (PBT) masing-masing 7% dan 11% YoY kepada RM74.3 juta dan RM36.4 juta.


"Segmen komersial melalui IGB Commercial REIT mencatatkan pertumbuhan pendapatan kasar 11.6% YoY kepada RM64.2 juta, dengan NPI meningkat 11.8% YoY kepada RM37.6 juta," kata PublicInvest lagi.


Kadar penyewaan portfolio kekal tinggi iaitu 92%, manakala sewa purata naik kepada RM6.53 kaki persegi, manakala segmen hotel mencatat hasil RM95.4 juta (3% YoY) dan PBT RM28.6 juta (4.4% YoY).


Firma itu menekankan IGB kembali aktif dalam pembelian tanah, termasuk 7.9 hektar bersebelahan Mid Valley Southkey, 5.1 hektar di Petaling Jaya, dan tapak Movie Animation Park Studios di Ipoh, Perak.


Berdasarkan situasi ini, PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran RM2.95 sesaham, sejajar dengan prestasi segmen hartanah dan pelaburan IGB yang stabil. - DagangNews.com