KUALA LUMPUR 7 Nov – IGB Berhad mengumumkan tiga anak syarikat perikanan tidak langsung milik penuhnya dibubar secara sukarela pada Mesyuarat Agung Luar Biasa masing-masing pada hari ini.
Katanya lagi, resolusi penutupan subsidiari berkenaan yang diluluskan anggota syarikat terbabit melibatkan OM3 Fish Development Sdn Bhd, OM3 Fish (Asia) Sdn Bhd, dan OM3 Fish Services Sdn Bhd.
Ia menambah, keputusan dibuat setelah mengambil kira yang ketiga-tiga syarikat berkenaan kini tidak aktif dan tiada rancangan untuk meneruskan sebarang aktiviti perniagaan pada masa hadapan.
"Firma perakaunan Messrs Foo, Lee, An & Associates dilantik sebagai pelikuidasi melalui wakilnya, An Li Fong, bagi menguruskan proses penggulungan tersebut," maklum IGB kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan berkenaan turut menjelaskan yang langkah itu tidak akan memberi sebarang kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Sebaliknya tambahnya, langkah penggulungan itu merupakan sebahagian daripada usaha penyusunan semula korporat IGB bagi menumpukan sumber berpotensi dan tumpuan kepada operasi teras kumpulan.
Jelas IGB, OM3 Fish Development didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 20 Jun 1996 sebagai sebuah syarikat pengurusan bagi kerja pembinaan dan pembangunan ladang akuakultur.
"Sementara OM3 Fish (Asia) yang beralamat di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pula sebagai terlibat dalam jualan runcit ikan, makanan laut lain, dan produk berasaskan marin,” katanya.
OM3 Fish Services pula disebut dalam laporan korporat sebagai syarikat pengurusan penternakan ikan atau hasil laut secara terkawal dengan alamat di Kuala Kubu Bahru, Selangor. - DagangNews.com








