ICT Zone dapat tempahan bekalkan komputer riba & aksesori berjumlah RM24.53 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICT Zone dapat tempahan bekalkan komputer riba & aksesori berjumlah RM24.53 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac – ICT Zone Asia Berhad memperoleh kontrak pembekalan perkakasan ICT bernilai RM24.53 juta yang memberikan lonjakan awal kepada aliran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 (FY2027).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia memaklumkan kontrak tersebut dianugerahkan oleh sebuah penyedia perkhidmatan rumusan ICT tempatan yang dikenali sebagai Syarikat A, untuk membekalkan dan menghantar komputer riba serta aksesori komputer mengikut jadual yang telah dipersetujui.

 

“ICT Zone Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh ICT Zone, akan menggunakan gabungan dana sendiri dan pinjaman bank bagi menampung kos pembelian perkakasan tersebut.

 

“Kejayaan ini menyusuli momentum cemerlang syarikat pada FY2026, di mana ICT Zone merekodkan pendapatan sebanyak RM187 juta serta memiliki buku pesanan belum ditagih bernilai RM293 juta,” katanya.

 

Menurut pengurusan syarikat, kontrak pembekalan berskala besar seperti ini membolehkan ICT Zone kekal aktif dalam kedua-dua perniagaan pembiayaan teknologi dan perdagangan, sekaligus memberikan gambaran jelas terhadap keuntungan jangka pendek.

 

Pesanan RM24.53 juta itu dijangka memberi impak positif terhadap keuntungan dan aset bersih syarikat bagi FY2027, selari dengan usaha pengembangan ICT Zone dalam segmen kerajaan dan korporat.

 

Permintaan terhadap peranti ICT yang dikendalikan oleh syarikat dilihat meningkat berikutan syarikat-syarikat sedang bersedia menghadapi fasa tamatnya sokongan Windows 10 serta keperluan untuk peranti yang mampu menyokong aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

 

Model perniagaan ICT Zone yang menggabungkan pembekalan perkakasan, pembiayaan, dan pengurusan peranti memberikan syarikat kelebihan untuk merebut peluang jualan segera dan pendapatan berulang dalam jangka panjang.

 

ICT Zone Asia merupakan peneraju dalam penyelesaian teknologi kewangan (TechFin) di Malaysia, menawarkan perkhidmatan bersepadu seperti Device-as-a-Service (DaaS 360), EzRental, i-Leasing, serta perkhidmatan awan melalui jenama Cloudify.Asia.

 

Syarikat juga mengendalikan platform peranti terpakai seperti KomputerMurah.my dan Sahabatku, menyokong agenda pendigitalan serta kelestarian negara.

 

Dengan pengalaman lebih dua dekad, ICT Zone Asia menyediakan khidmat kepada agensi kerajaan, korporat, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta telah diiktiraf dengan pensijilan ISO 14001:2015, MyHIJAU Mark, dan penarafan EcoVadis dalam prestasi kelestarian. - DagangNews.com