KUALA LUMPUR 6 Mac – ICT Zone Asia Berhad melalui anak syarikatnya, ICT Zone Sdn Bhd menerima tempahan pembelian bernilai RM17.7 juta daripada FK Technology Sdn Bhd.
Pesanan ini melibatkan pembekalan dan penghantaran sistem paparan elektronik serta perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lengkap dengan infrastruktur sokongan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak juga termasuk penyediaan struktur pemasangan dan kemudahan berkaitan bagi memastikan operasi peralatan berjalan lancar.
“Selain itu, ICT Zone Asia akan menguruskan kerja-kerja tambahan yang diperlukan untuk pemasangan dan operasi sistem, termasuk kerja elektrik, infrastruktur ICT, perkhidmatan perunding, serta pengurusan dan permohonan lesen pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam makluman tersebut.
Syarikat menjangkakan pelaksanaan pesanan pembelian ini akan memberi kesan positif terhadap keuntungan sesaham (EPS) dan nilai aset bersih sesaham, yang seterusnya meningkatkan prestasi kewangan syarikat.
ICT Zone Asia Berhad merupakan peneraju dalam rumusan teknologi kewangan (TechFin) di Malaysia.
Syarikat menawarkan perkhidmatan integrasi bekalan ICT, pembiayaan, pengurusan kitaran hidup peranti, dan perkhidmatan awan melalui model Everything-as-a-Service (XaaS).
Di bawah pelbagai model langganan, ICT Zone Asia menyediakan Device-as-a-Service (DaaS 360), EzRental, i-Leasing, perkhidmatan awan melalui Cloudify.Asia, serta platform peranti terpakai termasuk KomputerMurah.my dan Sahabatku.
Sejak lebih dua dekad, ICT Zone Asia telah bekerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat korporat, dan perniagaan kecil dan sederhana (PKS), menyokong agenda digitalisasi dan kelestarian di negara ini.
Syarikat juga memegang pensijilan ISO 14001:2015, MyHIJAU Mark, dan mendapat penilaian EcoVadis bagi prestasi lestari, menekankan komitmen mereka terhadap amalan mesra alam dan tanggungjawab sosial. - DagangNews.com








