KUALA LUMPUR 20 April – iCents Group Holdings Berhad melancarkan kilang baharu Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn Bhd di Mantin, Negeri Sembilan untuk memperkukuhkan lagi keupayaan pembuatan produk berkaitan bilik bersih dan pusat data bagi industri berteknologi tinggi.
Maytech merupakan anak syarikat milik penuh iCents Group Holdings Berhad yang memberi tumpuan kepada reka bentuk, pembuatan dan pembekalan sistem bilik bersih serta komponen berkaitan untuk sektor semikonduktor, pusat data, farmaseutikal, sains hayat, makanan dan minuman serta industri minyak sawit.
Syarikat itu telah melabur kira-kira RM15 juta bagi membangunkan kilang berkenaan yang dilengkapi teknologi pembuatan berketepatan tinggi termasuk sistem pemotongan laser, barisan pengeluaran separa automatik serta kemudahan ujian bahan bagi memastikan kualiti produk menepati piawaian industri.
Menurut iCents, kilang baharu ini dijangka mewujudkan sekitar 100 peluang pekerjaan, dengan kira-kira 30 peratus daripadanya melibatkan jawatan teknikal dan berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan tenaga kerja dalam sektor pembuatan termaju negara.
Selain itu, Maytech turut mempunyai pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman yang memberi fokus kepada inovasi berterusan dalam menghasilkan penyelesaian bilik bersih yang memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks dan berkembang.
Dari segi pasaran, Maytech telah mula mengembangkan operasinya ke peringkat serantau termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam, sekali gus mengukuhkan kedudukan iCents sebagai penyedia perkhidmatan bilik bersih dan infrastruktur pusat data di Asia Tenggara.
Syarikat turut menekankan komitmen terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan melaksanakan inisiatif seperti pensijilan Environmental Product Declaration (EPD) serta usaha mengurangkan jejak karbon dalam operasi pengeluaran.
Dalam pada itu, MIDA menyifatkan pelaburan ini sebagai selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menekankan pembangunan industri berasaskan teknologi tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan bernilai tinggi di rantau ini. - DagangNews.com








