iCents lancar IPO Pasaran ACE, sasar kumpul dana sehingga RM27 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

iCents lancar IPO Pasaran ACE, sasar kumpul dana sehingga RM27 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Jun — Penyedia perkhidmatan, iCents Group Holdings Berhad melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan sasaran mengumpul dana RM27 juta.


Kumpulan patuh syariah tersebut menurut prospektus yang diterbitkannya hari ini, menetapkan pemegang saham jualannya akan memperoleh kira-kira RM7.2 juta daripada penawaran saham sedia ada. 


Permohonan untuk IPO berkenaan katanya, akan ditutup pada 2 Julai 2025, dan syarikat perkhidmatan fasiliti bilik bersih tersebut, dijadualkan untuk penyenaraian rasmi di bursa pada 17 Julai 2025.


iCents turut terlibat dalam aktiviti perolehan, pembinaan, dan ujian serta pentauliahan bilik bersih bagi  sektor pembuatan semikonduktor dan elektronik, pusat data, farmaseutikal dan sains hayat.


Selain itu, ia menyediakan perkhidmatan kemudahan mesin dan peralatan penyambung, pembekalan dan pemasangan sistem siling tugas berat, kerja pembinaan dan penyelenggaraan pelbagai fasiliti.


Dana yang diperoleh daripada IPO itu tambahnya, akan digunakan untuk pembelian peralatan baharu dan mesin, serta pengembangan perniagaan, termasuk mewujudkan kemudahan di Negeri Sembilan.


Syarikat berkenaan juga berhasrat membuka pejabat baharu di Sarawak di samping Indonesia, dan Singapura untuk memberi liputan lebih luas kepada pelanggan berpotensi di pasaran tersebut.


Sementara baki dana akan digunakan untuk memenuhi rancangan pembangunan produk serta tawaran baharu, bersama-sama aktiviti pemasaran, modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.


"Kami sudah bersedia untuk memulakan fasa baharu perjalanan pertumbuhan kumpulan ini dan mahu mengukuhkan lagi kehadiran pasaran kami", kata Pengarah Urusan iCents, Vincent Ong Mum Fei.


Beliau, serta Pengarah Eksekutifnya Foo Siang Leng dan Tan Wei Ying, yang merupakan suami isteri, turut sedang menjual sebahagian daripada saham sedia ada dimiliki mereka sendiri dalam iCents.


Di bawah terbitan IPO itu, 25 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, diikuti 25 juta saham kepada pemohon yang layak dan 62.5 juta saham kepada pelabur Bumiputera diluluskan.


Syarikat itu dijangka memiliki permodalan pasaran sebanyak RM120 juta selepas penyenaraian manakala Alliance Islamic Bank ialah penasihat utama dan penaja jamin tunggal untuk IPO. - DagangNews.com