KUALA LUMPUR 23 Sept – Kumpulan pengurusan dana tertutup tunggal tersenarai di Bursa Malaysia, icapital.biz Berhad (ICAP) berhasrat membuka lembaran baharu dalam misi perjalanan pelaburannya.
Perkara tersebut akan diumumkan syarikat itu ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-21 pada 4 Oktober 2025, yang menandakan usia matang selama lebih dua dekad sejak penyenaraian pada Oktober 2005.
ICAP katanya, terus membuktikan ketahanan dan kemampuan mengatasi cabaran pasaran, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai pilihan utama individu menginginkan pelaburan jangka panjang stabil.
"Kejayaan ICAP bertahan lama amat signifikan, lebih-lebih lagi dalam konteks kejatuhan institusi kewangan utama dunia seperti Lehman Brothers dan Credit Suisse," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.
AGM kali ini bukan sahaja meraikan perjalanan 21 tahun, tetapi membuka ruang kepada pemegang saham bagi menentukan hala tuju baharu ICAP sebagai syarikat matang dalam landskap pelaburan negara.
ICAP jelasnya, bukan sekadar bertahan, malahan terus kukuh meskipun berdepan tekanan kuat daripada pelabur tertentu yang cuba mahu memansuhkan struktur dana tertutup demi keuntungan jangka pendek.
Dana tertutup seperti ICAP, dilihat stabil kerana tidak tertakluk kepada tekanan penebusan seperti dana terbuka dan membolehkan pengurus portfolio membuat keputusan pelaburan secara jangka panjang.
ICAP sering menjadi pilihan golongan pesara, pemilik perniagaan kecil dan pelabur individu yang mahu aliran tunai konsisten serta portfolio diuruskan secara profesional walaupun pasaran lemah.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Capital Dynamics, Tan Teng Boo yang bertanggungjawab ke atas ICAP, pelabur berhak mendapat banyak pilihan pelaburan.
"Ini khususnya mereka yang memiliki modal agak terhad dan kurang pendedahan profesional, atau akses mudah kepada portfolio ekuiti Malaysia yang dinilai rendah tetapi sebenarnya berpotensi tinggi,” katanya.
Beliau turut menambah, dasar dividen inovatif ICAP selama lebih dua dekad sebenarnya berjaya membuka ruang kepada pengagihan secara berterusan yang lebih menarik kepada para pemegang saham.
Walaupun trend global menunjukkan kemerosotan dana tertutup akibat tekanan daripada pelabur aktivis dengan modal besar, ICAP jelas Teng Boo, kekal sebagai contoh kejayaan berdaya tahan.
Dana tertutup tertua di dunia seperti F&C Investment Trust di Britain sejak 1868 dan beberapa di Amerika Syarikat (AS) yang diasaskan awal 1900-an, masih wujud mencatat prestasi seiring pasaran.
Justeru, AGM kali ini disifatkan simbolik kepada usia kematangan ICAP, dan dilihat sebagai medan penting untuk pemegang saham menentukan lembaran seterusnya dalam hala tuju pelaburan syarikat.
“Setiap AGM itu memang penting, tetapi AGM ke-21 ini membawa makna yang lebih mendalam, permulaan baharu untuk ICAP bergerak sebagai dana pelaburan strategik milik rakyat Malaysia,” ujar Teng Boo.
Sebagai meraikan ulang tahun ke-21 itu katanya, semua pemegang saham dan proksi yang hadir secara fizikal ke AGM tersebut akan menerima cenderamata istimewa edisi terhad. - DagangNews.com








