KUALA LUMPUR 5 Mac – Ibraco Berhad berdepan keperluan kritikal mengisi semula saluran kontrak pembinaan baharu ketika beberapa projek infrastruktur utama menghampiri fasa siap dalam dua tahun.
Menurut TA Securities, walaupun perolehan masih disokong buku tempahan sedia ada, usaha meraih kontrak menjadi cabaran bagi memastikan momentum hasil sektor pembinaan kekal mampan selepas FY27.
Katanya, setakat akhir FY25, kumpulan tersebut memiliki buku tempahan pembinaan bernilai RM734.9 juta, yang dijangka memberikan keterlihatan pendapatannya hanya bagi tempoh dua tahun akan datang.
"Projek utama sedang dilakukan Ibraco termasuk pembangunan sistem Kuching Autonomous Rapid Transit (ART) dan projek Sarawak Second Trunk Road di Samarahan," kata TA Securities dalam notanya itu.
Kesemua kontrak ini dijangka terus menyumbang kepada hasil pembinaan sehingga FY26, dan dalam masa sama, pihak pengurusan syarikat menyasarkan tender pembinaan baharu sekitar RM1 bilion pada FY26.
Kumpulan tersebut jelasnya, juga menerima surat hasrat (LOI) projek kuarters kerajaan berskala besar pada hujung FY25 yang kini dalam rundingan akhir sebelum kemungkinan dianugerahkan kontrak.
Selain itu jelas TA Securities, peluang tambahan Ibraco dilihat berpotensi besar datang daripada tender projek baharu untuk Kuching ART Laluan Hijau yang dianggarkan mencecah nilai RM1 bilion.

"Di samping itu, kami menjangkakan jualan hartanah syarikat ini bagi FY26 sebagai sederhana kepada sebanyak RM300 juta berbanding kira-kira RM320 juta pada FY25, berikutan pelbagai isu," katanya.
Ini termasuk pelancaran projek yang lebih tertumpu pada tempoh separuh kedua tahun serta proses penukaran tempahan yang lebih perlahan akibat syarat pembiayaan akhir pembeli yang lebih ketat.
TA Securities berkata, pembangunan perbandaran NorthBank Township kekal pemacu utama pertumbuhan hartanah Ibraco, dengan pelancaran komponen komersial NorthBank Business Exchange secara berfasa.
Sementara projek PrimeBay Industrial Park yang juga pembangunan industri pertama kumpulan dijangka menjana hasilnya dalam tempoh terdekat melalui penukaran tempahan kepada perjanjian jual beli.
"Setakat akhir FY25, kumpulan ini mencatat jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM304 juta, memberikan keterlihatan pendapatan apabila projek pembangunan sedia ada berjalan," jelasnya.
Sehubungan itu, TA Securities masih terus mengekalkan unjuran pendapatan Ibraco bagi FY26 hingga FY28 serta harga sasaran (TP) berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM1.32 sesaham.
Bagaimanapun, firma itu menaik taraf penarafan saham kepada 'beli' daripada 'pegang' selepas kelemahan harga saham baru-baru ini meningkatkan potensi kenaikan melebihi 12%. - DagangNews.com








