Hutang isi rumah Malaysia cecah RM1.65 trilion setakat Mac 2025, kata MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hutang isi rumah Malaysia cecah RM1.65 trilion setakat Mac 2025, kata MOF

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Ogos — Hutang isu rumah di negara ini masih lagi dalam paras yang terkawal apabila mencatatkan sejumlah RM1.65 trilion setakat Mac 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Katanya, jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini yang enunjukkan perubahan secara tidak ketara berbanding akhir tahun 2024.

 

Kedudukan hutang isi rumah juga katanya, perlu dilihat secara holistik, khususnya dengan mengambil kira aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar, berjumlah RM3.45 trilion pada tempoh sama.

 

"Secara agregat aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali, sekali gus menjadi penampan kewangan kukuh bagi isi rumah," katanya menerusi jawapan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

 

MOF menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu langkah kerajaan bagi menangani trend yang membimbangkan hutang isi rumah terutama dalam kalangan penjawat awam.

 

Berhubung pertanyaan tersebut, kementerian itu berkata, kerajaan sebenarnya telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah.

 

Pinjaman yang diluluskan oleh institusi kewangan, termasuk kepada penjawat awam, tertakluk kepada Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

 

"Ia sudah pun berkuat kuasa sejak 2012 bagi memastikan tahap hutang isi rumah adalah kekal terkawal dan usaha ini sejajar dengan kemampuan untuk membayar balik pinjaman berkenaan," tambah MOF.

 

Katanya, institusi kewangan secara umumnya menjalankan penilaian ke atas keupayaan peminjam, dengan mengambil kira faktor pendapatan boleh guna bersih minimum serta had Nisbah Khidmat Hutang (DSR).

 

Pada akhir 2024 kata kementerian tersebut, data menunjukkan median DSR bagi pinjaman terkumpul isi rumah masih berada pada paras yang berhemat iaitu sebanyak 34 peratus.

 

Selain itu tambah MOF, terdapat juga langkah kawalan secara khusus untuk penjawat awam menerusi Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

 

"Ia menetapkan seseorang pegawai kerajaan tidak boleh berada dalam keberhutangan kewangan yang serius dan gaji bersih bulanan tidak boleh kurang daripada 40 peratus," katanya.

 

Statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia kata MOF, menunjukkan sebanyak 4,194 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam telah direkodkan bagi tempoh tahun 2020 hingga Jun 2025.

 

Bagaimanapun angka berkenaan tambahnya, hanya sekitar 0.3 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut melaksanakan langkah yang strategik.

 

Usaha ini melalui Program Transformasi Minda (PTM) bagi memberi pendedahan awal kepada pegawai baharu mengenai aspek pengurusan kewangan peribadi. - DagangNews.com