KUALA LUMPUR 23 Dis — Hujan yang kebanyakannya sering berlaku pada sebelah petang di Sarawak hanya memberi kesan terhad terhadap operasi Sarawak Plantation Berhad (SPB), menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi itu sekali gus membolehkan aktiviti penuaian oleh syarikat berkenaan masih dapat diteruskan pekerjanya pada waktu pagi tanpa berlaku gangguan secara ketara.
Tambahnya, meskipun Januari kelazimannya merupakan tempoh berisiko lebih tinggi dari segi cuaca dan potensi banjir di negeri tersebut, setakat ini tiada isu operasi utama yang dikenal pasti syarikat.
"Sehubungan itu, keterlihatan pendapatan SPB kekal stabil, disokong oleh pengurusan operasi yang berdisiplin dan kecekapan ladang yang semakin baik," jelas MBSB Research dalam notanya hari ini.
Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan 'neutral' dan harga sasaran RM2.88 sesaham, susulan pertemuan bersama pihak pengurusan kumpulan yang mengesahkan prospek FY26 kekal positif.
Keadaan ini kata firma berkenaan, didorong oleh pengembangan kawasan boleh dituai hampir 1,000 hektar serta trend kos pengeluaran yang menurun hasil peningkatan skala dan kecekapan operasi.
Dari segi pengeluaran jelas MBSB Research, SPB menyasarkan output sekitar 360,000 tan pada FY25, dengan pertumbuhan sebanyak 25% pada FY26, dipacu kematangan ladang baharu kira-kira 900 hektar.
"Prestasi hasil juga menunjukkan penambahbaikan, dengan purata hasil meningkat daripada 16 tan metrik sehektar pada 2023 kepada lebih 18 tan metrik sehektar menjelang FY26," tambahnya lagi.
Kadar perahan minyak (OER) juga kata firma berkenaan, didapati kekal menggalakkan, dengan purata 19.37% bagi 9MFY25, melepasi purata Sarawak dan dijangka meningkat kepada 19.6% pada FY26.
Dalam usaha mengukuhkan margin kata MBSB Research, SPB terus mengurangkan kebergantungan kepada pembelian buah tandan segar (BTS) luaran, yang dijangka mampu menyusut bawah 40% pada FY26.
Perancangan tersebut adalah rendah berbanding 50% dicatatkan pada ketika ini, dan strategi itu meningkatkan kawalan kualiti dan masa penuaian, di samping mengurangkan turun naik margin.
"Situasi itu memandangkan margin operasi ladang kumpulan berkenaan dianggarkan sekitar 35%, yang disifatkan masih jauh lebih tinggi berbanding aktiviti berasaskan kilang," kata firma itu.
Dari sudut kos pula kata MBSB Research, tekanan kekal terkawal walaupun harga baja dianggarkan sekitar RM1,400 satu tan metrik pada FY25, dengan potensi kenaikan sederhana pada tahun hadapan.
Kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka menurun daripada bawah RM2,700 satu tan pada FY25 kepada bawah RM2,400 pada FY26, disokong oleh peningkatan volum dan pencairan kos tetap.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan unjuran hasil sedia ada dan menegaskan SPB merupakan syarikat beroperasi sepenuhnya di Malaysia, terlindung daripada risiko kawal selia serantau. - DagangNews.com








