HSS Engineers kaut untung bersih RM3.5 juta bagi 1QFY26, naik 152% didorong pelbagai projek infrastruktur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers kaut untung bersih RM3.5 juta bagi 1QFY26, naik 152% didorong pelbagai projek infrastruktur

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 MeiHSS Engineers Berhad mencatat keuntungan besar bagi suku pertama tahun kewangan 2026 apabila ledakan projek infrastruktur negara mula meningkatkan margin kumpulan itu.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut merekodkan keuntungan bersih melonjak 151.8% kepada RM3.5 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


Tambahnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat 127.4% kepada RM5.6 juta dengan hasil mencecah RM46 juta, didorong oleh projek yang lebih menguntungkan selain kecekapan operasi.


"Segmen pengurusan projek (PMS) masih lagi kekal sebagai penyumbang pendapatan paling besar dengan mencatatkan RM21.3 juta atau kira-kira 46.2% daripada jumlah hasil kumpulan," jelas HSS Engineers.


Ini diikuti segmen reka bentuk kejuruteraan sebanyak RM11.7 juta dan penyeliaan pembinaan RM10.6 juta, manakala perniagaan perkhidmatan digital hampir menggandakan hasil kepada RM700,000.


Perkembangan positif tersebut ujar kumpulan berkenaan, disokong kukuh sumbangan projek bersama EDOTCO, sejajar strategi kumpulan memperluaskan rumusan kejuruteraan berteraskan teknologi.


Malaysia terus menjadi pasaran utama HSS Engineers dengan sumbangan RM42.6 juta atau kira-kira 92.6% daripada keseluruhan hasil, manakala operasi luar negara diterajui Filipina dan India.


"Setakat 31 Mac 2026, kumpulan ini sudah berjaya memiliki buku tempahan belum dibilkan sebanyak RM2.1 bilion yang mampu memberikan keterlihatan pendapatan sehingga lapan tahun," jelasnya.


Daripada jumlah itu, 80.5% disumbangkan oleh PMS, manakala kumpulan berkenaan turut memiliki tender aktif bernilai RM525 juta yang dijangka menyokong pengisian projek baharu pada masa depan.


Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Kuna Sittampalam berkata, kumpulan itu berada di kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada kitaran pembangunan infrastruktur negara yang semakin rancak.


Menurutnya, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, selain RM50 bilion oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


"Ini menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan dianggarkan RM131.3 bilion, dan kami melaksanakan beberapa projek infrastruktur utama negara termasuk rel dan lebuh raya," katanya.


Di peringkat antarabangsa, HSS Engineers turut memperluas peranan perundingan strategik di India dan Filipina, di samping memajukan dua projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Perak dan Kedah.


Menurut beliau lagi, kedua-dua projek solar berskala besar itu dijangka mampu menyumbang pendapatan secara berulang jangka panjang kepada kumpulan. - DagangNews.com