HSS Engineers dan CTI Engineering dari Jepun teroka potensi kerjasama strategik antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers dan CTI Engineering dari Jepun teroka potensi kerjasama strategik antarabangsa

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 NovHSS Engineers Berhad dan CTI Engineering Co Ltd bakal meneroka potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang berkaitan di peringkat tempatan dan antarabangsa.


Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) dengan firma kejuruteraan tersenarai di Jepun, itu bagi usaha perundingan kejuruteraan, pemindahan teknologi, dan pembangunan perniagaan.


Menurut HSS Engineers, ia juga langsung tidak mengikat mereka secara sah sehingga kedua-dua pihak tersebut berjaya memuktamadkan Perjanjian Definitif dengan syarat yang dipersetujui bersama.


"Tempoh MOU ini adalah satu tahun bermula dari tarikh tandatangan, kecuali ditamatkan lebih awal oleh mana-mana pihak," jelas kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Tambahnya, memorandum berkenaan dijangka tidak memberi kesan material segera ke atas pendapatan, aset bersih, atau modal saham syarikat tersebut bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


Selain itu kata HSS Engineer, tiada sebarang keperluan untuk kelulusan secara rasmi diperoleh daripada para pemegang saham syarikat atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk MOU tersebut.


Lembaga Pengarahnya menegaskan bahawa MOU ini adalah langkah awal yang positif untuk memperkukuh keupayaan kejuruteraan dan infrastruktur syarikat melalui kolaborasi strategik dengan firma asing.


"Bagaimanapun syarikat ini akan membuat pengumuman selanjutnya jika terdapat perkembangan material berkaitan isu ini," kata HSS Engineers yang ditubuhkan pada 2015 dan disenaraikan sejak 2016.


CTI Engineering pula dibentuk asalnya sebagai institut kejuruteraan pada 1945 sebelum menjadi sebuah syarikat persendirian sejak 1963 dengan beribu pejabat di Tokyo. - DagangNews.com