KUALA LUMPUR 24 Sept – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura masih terus menjadi tumpuan walaupun belum pernah dimuktamadkan, menurut penganalisis industri rel.
Isu itu kembali diperkatakan ketika dua projek utama di Johor iaitu Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura semakin siap dibina.
Mereka menyifatkan pembangunan semula HSR sebagai pemangkin strategik yang memberi kesan besar dengan menyokong objektif ekonomi, alam sekitar, integrasi serantau dan pendanaan inovatif.
Pengarah Urusan Arup Group Ltd rantau Asia Pasifik, TC Chew menegaskan, HSR akan membawa impak yang luas tidak sahaja kepada Malaysia dan Singapura, bahkan rantau ASEAN secara keseluruhan.
“HSR bukan hanya soal sambungan, tetapi peluang mencipta perjalanan yang bermakna. Tempoh 90 minit KL–Singapura bakal merangsang aktiviti perniagaan, kekeluargaan dan pelancongan,” kata beliau.
Bercakap pada Persidangan HSR Asia Pasifik 2025, beliau menilai sambutan luar biasa daripada pemain industri global menunjukkan minat mendalam terhadap pertumbuhan sektor rel Malaysia.
Bagaimanapun Chew turut mengingatkan mengenai isu jajaran, pengambilan tanah, alam sekitar dan pembiayaan perlu diselesaikan dengan teliti bagi merealisasikan potensi sebenar projek ini.
HSR Kuala Lumpur-Singapura diusulkan sejak dua dekad lalu oleh syarikat YTL Group dengan projek diunjurkan memendekkan perjalanan darat di lebuh raya daripada lima jam kepada hanya 90 minit.
Laluan sepanjang 350 kilometer, dijangka cuma melibatkan lapan stesen di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Forest City.

Dengan kelajuan operasi mencecah 320 kilometer sejam, HSR akan menjadi pengubah landskap logistik dan pelancongan di rantau ini selain meningkatkan pelaburan asing serta pergerakan pengguna.
Walaupun perjanjian asal 2016 berakhir pada Disember 2020, kerajaan Malaysia membayar pampasan lebih S$102 juta (kira-kira RM333.5 juta) kepada Singapura selepas projek mega itu dibatalkan.
Momentum kembali pulih apabila rundingan semula dimulakan pada 2023 dan menurut myHSR Corp, sebanyak tujuh konsortium menyertai proses permohonan dengan tiga konsortium disenarai pendek.
Ia melibatkan YTL Construction Sdn Bhd dan SIPP Rail Sdn Bhd, Berjaya Rail, KTM Berhad dan IJM Construction serta konsortium dari China yang diketuai firma China Railway Construction.
Pembinaan meskipun dijangka tidak bermula dalam tempoh yang terdekat, langkah terbaharu myHSR itu dinilai sebagai menunjukkan komitmen kerajaan untuk menghidupkan semula projek ikonik ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MY Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan pula memberi amaran berhubung penangguhan berpanjangan boleh merugikan daya saing Malaysia di rantau Asia Tenggara.
“HSR sepatutnya bakal menjadi pemacu pertumbuhan pelbagai sektor. Lagi lama ditangguh, lebih jauh kita ketinggalan berbanding negara-negara lain dan Malaysia perlu bertindak segera,” katanya.
Tambah beliau, dengan hala tuju pembangunan yang amat jelas di Johor dan minat berterusan dari sektor swasta sendiri, HSR Kuala Lumpur–Singapura sebenarnya masih kekal dianggap relevan.
Kunci projek HSR itu kata Wan Agyl, kini terletak pada isu penyelesaian jajaran, pembiayaan dan kerjasama dua hala bagi mengaktifkan semula ekonomi negara ini. - DagangNews.com








