HRD Corp anjur pelbagai acara perkasakan bakat OKU sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp anjur pelbagai acara perkasakan bakat OKU sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Jun — Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menganjurkan pelbagai acara sebagai usaha memperkasa penyertaan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam pasaran kerja.


Agensi pembangunan kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) itu berkata, antaranya forum bertema ASEAN: Empowering Persons with Disabilities, Elevating the Workforce di ibu negara.


Ia dianjur bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 dengan acara itu menekankan kepentingan tenaga kerja secara inklusif sebagai tonggak utama dalam ekosistem pembangunan bakat masa depan.


"Forum ini menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan aktivis OKU bagi mengetengahkan amalan pekerjaan inklusif serta memperkukuh peluang saksama," kata HRD Corp dalam kenyataan.

 

ntw hrdc


Acara santai itu dirasmikan oleh Penasihat Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, Datuk Shahul Dawood dan turut dihadiri Ketua Pegawai Program HRD Corp merangkap Pengerusi NTW 2025, Soffian Amin.


Sesi perbincangan pula menampilkan empat tokoh terkemuka dalam komuniti OKU yang berkongsi kepakaran serta pengalaman antaranya Pengasas dan Presiden OKU Sentral, Datuk Dr Ras Adiba Radzi.


Turut menjadi anggota panel ialah Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan Rakan Pengasas KitaKita, Nori Abdullah yang merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Setiap panel menekankan keperluan pendekatan pelbagai sektor dalam memperkukuh inklusiviti, dengan menyedari kepelbagaian bukan sahaja suatu tuntutan moral, malah adalah kelebihan terhadap ekonomi.

 

ntw hrdc


"Di samping penganjuran forum sebagai acara utama, para peserta turut terlibat dalam siri-siri perbincangan kecil dengan pelbagai topik berkaitan pemerkasaan OKU di tempat kerja," kata HRD Corp.


Antara diadakan ialah sesi istimewa bertajuk Dialogue in the Dark oleh Pengasas DIA Academy, Steven Chan dan ceramah inspirasi disampaikan Anis Adillah yang berkongsi perjalanan peribadi dirinya.


Bagi memberi lebih impak, HRD Corp dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan MyFutureJobs menganjurkan pameran pekerjaan dan sesi temu duga terbuka untuk pencari kerja OKU.


Beberapa syarikat terlibat termasuk AEON Co (M) Berhad, Bila-Bila Mart, Always Sdn Bhd, Hotel Marriott, dan Genashtim Sdn Bhd, sebagai bukti komitmen industri menawarkan peluang pekerjaan inklusif.

 

ntw hrdc


Selain itu, HRD Corp menawarkan tiga sesi latihan serentak secara percuma iaitu Latihan Kognitif dan Gangguan Sosial, Latihan Penulisan Perniagaan untuk OKU dan Program Keusahawanan oleh MyOKU.


Melalui inisiatif ini, agensi itu berhasrat untuk mengubah persepsi masyarakat, membina komuniti yang menyokong penyertaan setara serta menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja lebih saksama.


Walaupun kempen selama seminggu berkenaan telah berakhir pada 21 Jun 2025, rakyat Malaysia dan komuniti ASEAN masih boleh mengakses kursus-kursus percuma ini melalui portal NTW sepanjang tahun.


Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.nationaltrainingweek.gov.my/, serta mengenai AYOS 2025 dan platform utama lain melalui portal rasmi AYOS 2025 di https://aseanyearofskills.org/. - DagangNews.com