KUALA LUMPUR 4 Mei – Honda Malaysia meningkatkan nilai pemilikan kenderaan hibridnya dengan jaminan bateri dan komponen hibrid sehingga 10 tahun tanpa had perbatuan, yang berkuat kuasa 1 Mei 2026.
Langkah itu merangkumi semua pembelian baharu model e:HEV, sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat automotif berkenaan terhadap ketahanan dan prestasi jangka panjang teknologi hibridnya.
Menurut kenyataan syarikat tersebut, antara model yang terlibat dengan tawaran itu termasuk Honda City e:HEV, Honda City Hatchback e:HEV, Honda HR-V e:HEV, Honda Civic e:HEV serta Honda CR-V e:HEV.
"Selain pelanggan baharu, pemilik sedia ada model e:HEV dan generasi terdahulu i-DCD turut menerima manfaat lanjutan jaminan bateri daripada hanya lapan tahun kepada 10 tahun," jelas Honda Malaysia.
Sementara itu ujar kumpulan berkenaan, komponen hibrid yang terpilih pula turut dilanjutkan tempoh tersebut daripada cuma selama lima tahun diperuntukkan sebelum ini kepada maksimum 10 tahun.
Lebih menarik tambahnya, perlindungan jaminan ini turut meliputi pemilik kenderaan terpakai, dengan pemilik kedua dan seterusnya masih lagi untuk layak menikmati perlindungan sehingga tempoh 10 tahun.
Inisiatif khas ini dilaksanakan seiring kempen 'Hybrid Done Right' dari 1 April hingga 30 Jun 2026, yang bertujuan menonjolkan kelebihan teknologi e:HEV dari segi ketahanan, dan prestasi sebenar di jalan raya.
"Pengenalan jaminan lebih panjang ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, malah ekosistem hibrid Honda Malaysia melalui sokongan selepas jualan dan tahap ketersediaan alat ganti," katanya.
Langkah tersebut ujarnya, dilihat sebagai strategi penting dalam memperkukuh kedudukan Honda untuk segmen kenderaan hibrid yang semakin kompetitif di Malaysia. - DagangNews.com








