Honda Malaysia panggil balik 87,490 unit Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, Odyssey susulan isu pam bahan api | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Honda Malaysia panggil balik 87,490 unit Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, Odyssey susulan isu pam bahan api

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Jun — Honda Malaysia memanggil balik kira-kira 87,490 unit enam model keluarannya bagi menggantikan pam bahan api dalam kenderaan tersebut yang terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.


Ia meliputi Accord (2013-2017), BR-V (2017-2018), City (2014-2019), City (Hybrid) (2018, 2019), Civic (2017, 2018), CR-V (2018- 2021), CR-V (2018-2019), (2015-2020), Jazz (Hibrid) (2018) dan Odyssey (2017-2019).


Pendesak pam bahan api itu katanya, mungkin membengkak selepas rendaman secara berpanjangan, yang berpotensi menghalang kenderaan daripada dihidupkan atau menyebabkan enjin terhenti semasa memandu.

 

"Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 84,073 unit model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey yang dikenal pasti terjejas," tambah syarikat automotif berkenaan dalam satu kenyataan.

hondahonda

Sementara itu, sejumlah 3,417 unit Civic (2023-2024) dan CR-V (2024) pula dikhuatiri terjejas akibat masalah pam bahan api tekanan tinggi, yang mungkin retak akibat penggunaan berpanjangan dan tekanan berlebihan.


Masalah teknikal tersebut kata Honda Malaysia, berpotensi membawa kepada kebocoran bahan api atau menimbulkan isu bau bahan api semasa memandu atau ketika memberhentikan kenderaan berkenaan.


Syarikat tersebut berkata, semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan secara rasmi, dengan meliputi segala butiran mengenai penarikan balik produk terbabit.

hondahonda

Pelanggan juga katanya, boleh menyemak sendiri status terkini sama ada kenderaan mereka memang terjejas  dalam panggilan balik tersebut atau sebaliknya masih selamat, melalui aplikasi Honda Touch.

 

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan terjejas menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temujanji selepas menerima pemberitahuan yang tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.


"Penggantian pam itu adalah percuma, dengan semua kos berkaitan aktiviti ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok gantian akan disediakan secara berperingkat," tambahnya. - DagangNews.com