KUALA LUMPUR 3 Nov – Ho Hup Construction Company Berhad mengakui tidak dapat mengemukakan Laporan Tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2025 kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.
Kumpulan itu berkata, ia sepatutnya dikemukakan sebelum tarikh akhir 31 Oktober 2025, seperti disyaratkan di bawah Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (MMLR).
Menurut kenyataan lembaga pengarahnya, kelewatan itu berpunca daripada proses akhir penyusunan dan pengesahan laporan kewangan diaudit yang masih dijalankan sebelum dikeluarkan oleh pihak syarikat.
"Bagaimanapun, kami ingin menjelaskan bahawa Laporan Tahunan 2025 dijangka siap dan diserahkan selewat-lewatnya pada 7 November 2025," kata Ho Hup dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Berdasarkan Perenggan 9.28(5) MMLR, sekiranya laporan tahunan itu gagal dikemukakan dalam tempoh lima hari pasaran selepas tarikh akhir, Bursa Malaysia akan menggantung dagangan saham Ho Hup.
Selain itu, jika laporan tersebut masih belum dikeluarkan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh akhir berkenaan, Bursa Malaysia berhak memulakan prosedur penyahsenaraian terhadap syarikat berkenaan.
Ho Hup memberi jaminan yang ia sedang berusaha memastikan proses penyediaan laporan kewangan diaudit disiapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penggantungan daripada pihak pengawal selia.
Pada 23 Oktober 2025, pemegang saham utamanya, Omesti Holdings Berhad yang memiliki 10.4% ekuiti, memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi menyingkirkan dua pengarah dan melantik pengarah baharu.
Langkah tersebut dibuat ketika Ho Hup bergelut dengan kedudukan kewangan yang lemah selepas anak syarikatnya, Bukit Jalil Development Sdn Bhd gagal membayar pinjaman berjumlah RM112.69 juta.
Ho Hup, yang terkenal dengan projek pembangunan di kawasan Bukit Jalil, kini sedang menilai beberapa langkah pemulihan untuk mengembalikan aliran kewangan dan keyakinan pelabur. - DagangNews.com








