HLIB turunkan unjuran hasil MCE 2 tahun susulan kebimbangan isu pajakan bateri EV Perodua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB turunkan unjuran hasil MCE 2 tahun susulan kebimbangan isu pajakan bateri EV Perodua

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan tanda bagus ketika melancarkan model QV-E keluaran Perodua di Kuala Lumpur pada 1 Disember 2025. - Foto BERNAMA
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 DisHong Leong Investment Bank (HLIB) menurunkan unjuran pendapatan ke atas MCE Holdings Berhad bagi dua tahun berturut-turut iaitu FY26 dan FY27 masing-masing 1.7% dan 0.3%.


Firma penyelidikan itu berkata, penyusutan ini berikutan kebimbangan pasaran terhadap penerimaan model baharu kenderaan elektrik (EV) jenama Perodua, QV-E yang menggunakan struktur pajakan bateri.


Seiring semakan unjuran itu, ia turut menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.38 daripada RM2.40 sebelum ini, berasaskan 15 kali nisbah harga ke atas perolehan sesaham menjelang pertengahan FY27.


"Bagaimanapun, kami masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham MCE kerana kebimbangan pasaran tersebut dinilai sebagai lebih bersifat jangka pendek," kata HLIB dalam nota kajiannya hari ini.


Selain itu, ia memaklumkan yang harga saham kumpulan tersebut sudah menyusut daripada paras paling tinggi iaitu RM1.91 pada 21 Oktober 2025 kepada sekitar RM1.56 dalam dagangannya baru-baru ini.


Perkembangan berkenaan jelas firma tersebut, didorong oleh kekhuatiran para pelabur terhadap isu struktur pajakan bateri yang masih baharu di pasaran tempatan dan dibimbangi boleh memberi risiko.


Menurut HLIB, sistem itu hanya bertujuan mengurangkan harga belian EV tersebut dengan mengekalkan nilai jualan semula dan memisahkan risiko kelemahan bateri tenaga daripada pemilikan kenderaan.


"Sebagai konsep baharu di Malaysia, ia berpotensi mencetuskan keraguan awal pengguna, memandangkan Perodua perlu masa mendidik pasaran mengenai mekanisme, kos dan manfaat jangka panjang," katanya.


Penerimaan pengguna di negara ini jelas firma penyelidikan tersebut, namun akan bertambah baik secara berperingkat apabila tahap kesedaran meningkat dan disokong oleh pengalaman pengguna awal.


Penyertaan MCE dalam platform EV Perodua dilihat sebagai pencapaian strategik penting, menandakan kemasukan kumpulan itu ke dalam rantaian bekalan EV dan membina rekod prestasi kontrak masa depan.


Sehubungan itu, HLIB berpandangan penyusutan harga saham baru-baru ini sebagai peluang kemasukan menarik untuk memiliki ekuiti pembekal auto-elektronik yang sedang berkembang secara struktur.


"Keuntungan teras MCE bagi 1Q sebanyak RM3.9 juta adalah selari jangkaan, dengan prestasi yang lebih kukuh dijangka pada suku seterusnya, disokong oleh aliran hasil baharu," tambahnya lagi.


Justeru, firma itu menegaskan kekuatan MCE dalam keupayaan kejuruteraan dan reka bentuk akan membolehkan kumpulan itu naik rantaian nilai, meluaskan asas pelanggan dan mempelbagaikan produk.


MCE berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada trend terkini serta peralihan rantaian bekalan China+1, yang terus menyokong pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com