HLIB tingkatkan unjuran KDNK 2025 kepada 4.5%, ramal pertumbuhan sederhana pada 4Q25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB tingkatkan unjuran KDNK 2025 kepada 4.5%, ramal pertumbuhan sederhana pada 4Q25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 OktHong Leong Investment Bank (HLIB) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2025 kepada 4.5% berbanding 4.0% sebelumnya.


Menurut firma penyelidikan tersebut, peningkatan kecil berkenaan susulan prestasi ekonomi negara pada tempoh suku ketiga tahun ini yang dinilai adalah lebih kukuh daripada jangkaan awal.


Bagaimanapun, ia meramalkan pertumbuhan lebih sederhana pada suku keempat, berikutan faktor ketidaktentuan global serta permintaan eksport yang semakin lembap dari rakan dagangan utama.


Menurut HLIB, sokongan terhadap pertumbuhan domestik kekal kukuh, dipacu kestabilan pasaran buruh dan peningkatan pendapatan boleh guna, hasil dasar fiskal yang menyokong isi rumah dan perniagaan.


“Kami masih lagi menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi sederhana kepada 4.1% pada tempoh tiga bulan yang terakhir tahun ini," kata firma tersebut dalam satu notanya hari ini.


Dengan inflasi terkawal dan pertumbuhan stabil, ia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada sebanyak 2.7% hingga akhir tahun ini.


Berdasarkan anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK dijangka berkembang kepada 5.2% pada suku ketiga, dipacu data pengeluaran bagi Julai dan Ogos serta unjuran awal September.


HLIB menjelaskan, pemulihan dalam perbelanjaan pelancongan, terutama menjelang hujung tahun, turut memberi suntikan kepada pertumbuhan, sejajar trend bermusim yang rancak pada separuh kedua tahun.


Selain itu tambah firma berkenaan, pelaksanaan projek-projek infrastruktur awam serta pelaburan daripada sektor swasta yang semakin aktif juga akan menyumbang kepada momentum ekonomi domestik.


Sehubungan itu, ia menjangkakan tiada perubahan dasar monetari dalam masa terdekat, selagi tekanan inflasi kekal terkawal dan pertumbuhan ekonomi masih tidak mengalami kejutan luaran secara ketara.


“Keseimbangan antara pertumbuhan sederhana dan inflasi stabil memberikan ruang kepada BNM untuk masih mengekalkan pendirian dasar monetari yang terus menyokong pertumbuhan,” jelas HLIB lagi.


Data rasmi KDNK suku ketiga dijadualkan diumumkan pada 14 November 2025, serta dijangka menjadi penentu utama kepada hala tuju dasar fiskal dan monetari negara menjelang 2026. - DagangNews.com