KUALA LUMPUR 6 Jan – Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan jumlah volum industri kenderaan (TIV) menyusut sebanyak 3.7% tahun ke tahun (YoY) kepada 780,000 unit pada tahun ini.
Firma penyelidikan itu menambah, situasi ini berikutan kemerosotan baki tempahan serta pelaksanaan duti eksais bagi model kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) mulai 1 Januari 2026.
Menurutnya, bagi tempoh 11 bulan tahun lalu (11M25), jumlahnya kekal tinggi iaitu 727,800 unit, disokong jualan kukuh melibatkan Proton, Perodua, serta jenama China seperti BYD, Chery, iCar, Haval dan Tank.
"Bagaimanapun kami mengunjurkan TIV bagi keseluruhan sepanjang 2025 berakhir pada kepada 810,000 unit, turun 1% YoY berbanding sebanyak 818,400 unit pada 2024," jelas HLIB dalam notanya hari ini.
Sehubungan itu, firma tersebut berpandangan permintaan yang semakin sederhana akan meningkatkan lagi persaingan dalam kalangan pengeluar peralatan asal (OEM), khususnya kereta daripada China.
Perkembangan berkenaan tambahnya, sekali gus berpotensi menekan margin keuntungan sektor automotif di pasaran Malaysia secara keseluruhan pada tahun ini, sekiranya tiada faktor tarikan tertentu.
HLIB namun melihat beberapa langkah kerajaan mampu memberi kelebihan kepada OEM jenama nasional, termasuk penawaran geran padanan sebanyak RM4,000 bagi pelupusan kenderaan berusia lebih 20 tahun.
"Inisiatif pengecualian cukai 100% untuk pembelian kenderaan Proton dan Perodua oleh pengusaha kereta sewa dan teksi persendirian, berkuat kuasa tahun ini turut merangsang jualan," katanya.
Dari sudut dasar monetari pula, firma penyelidikan tersebut menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) masih terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kira-kira 2.75% sepanjang tahun ini.
Jelas HLIB, sebarang perubahan 25 mata asas akan memberi kesan sekitar RM15 sebulan kepada ansuran pinjaman kereta bernilai RM80,000 dengan pembiayaan sebanyak 90% bagi tempoh sembilan tahun.
Bagi segmen EV, ia menilai pendaftaran EV baharu yang mencecah 36,700 unit dalam tempoh 11M25, sebagai bersamaan hanya kira-kira 5% daripada jumlah jualan kereta baharu secara keseluruhanya.
"Pertumbuhan kecil ini didorong oleh pelancaran banyak model baharu, kempen jualan agresif serta jangkaan penamatan pengecualian duti eksais CBU ke atas EV pada 2026," tambah firma berkenaan.
Justeru, HLIB menjangka jualan EV akan terus meningkat sepanjang tahun depan, disokong oleh EV model pemasangan tempatan (CKD) dengan kos lebih rendah keluaran Proton, Perodua dan Wuling.
Ia namun masih mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor automotif, mengambil kira persaingan pasaran yang dijangka kekal sengit pada tahun ini. - DagangNews.com








