HLIB: Kenaikan harga aluminium global tingkatkan saham Press Metal cecah paras tertinggi baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB: Kenaikan harga aluminium global tingkatkan saham Press Metal cecah paras tertinggi baharu

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 April – Kenaikan harga aluminium global susulan konflik di Timur Tengah melonjakkan saham Press Metal Aluminium Holdings Berhad ke paras tertinggi baharu RM8.36 pada sesi pagi hari ini.


Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota analisisnya berkata, perkembangan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan itu sebagai antara syarikat paling bernilai di Bursa Malaysia.


Harga aluminium melepasi AS$3,620 (RM14,360) di Bursa Saham London (LME), didorong faktor gangguan bekalan selepas beberapa pengeluar utama di rantau Teluk Parsi mengurangkan pengeluaran mereka.


"Berdasarkan perkembangan itu, kami menaik taraf saham Press Metal kepada saranan 'beli', sambil meningkatkan unjuran pendapatan sebanyak 13% bagi FY26 dan 18% bagi FY27," jelas firma tersebut.


Menurut HLIB, kenaikan harga aluminium yang dipacu faktor geopolitik serta strategi lindung nilai yang lebih baik dilihat berjaya memberi sokongan kukuh kepada keterlihatan pendapatan syarikat berkenaan.

 

Press Metal_DagangNews


Ujarnya, kumpulan itu melindung nilai 65% pengeluaran aluminium pada harga AS$2,800 (RM11,110) satu tan, manakala baki 35% lagi diberi pendedahan kepada harga pasaran semasa yang lebih tinggi.


Firma penyelidikan itu turut menjelaskan premium logam Main Japanese Port (MJP) yang meningkat kepada sekitar AS$300 (RM1,189) satu tan dijangka terus menyokong harga jualan purata direalisasi.


"Selain itu, permintaan aluminium dari pasaran rantau Asia Pasifik dilihat meningkat apabila pelanggan terpaksa mencari sumber alternatif susulan isu gangguan bekalan di Timur Tengah," tambah HLIB.


Saham Press Metal sebelum ini naik lebih 18% sejak awal tahun dan menambah RM9.39 bilion kepada nilai pasaran sejak awal Mac 2026, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek syarikat.


Secara keseluruhan, ia menjangkakan 2026 bakal menjadi tahun yang kukuh dari segi jualan dan keuntungan bagi syarikat, disokong harga aluminium kekal tinggi dalam tempoh sederhana. - DagangNews.com