Hibiscus Petroleum kaut untung bersih RM117.5 juta pada FY25, disokong aliran tunai operasi teguh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hibiscus Petroleum kaut untung bersih RM117.5 juta pada FY25, disokong aliran tunai operasi teguh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 OgosHibiscus Petroleum Berhad mencatatkan untung bersih RM117.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), disokong oleh aliran tunai operasi yang kukuh.


Kumpulan tersebut menambah, ia juga dibantu pertumbuhan jualan yang baik walaupun dipengaruhi oleh harga minyak dan gas lebih lemah serta kesan besar daripada cukai luar jangka di United Kingdom.


Jika dikecualikan impak sekali sahaja daripada cukai liabiliti tertunda bukan tunai di bawah Energy Profits Levy (EPL) di negara itu, keuntungan bersih normalisasi syarikat ini adalah RM290.6 juta.


"Sepanjang FY25, Hibiscus telah menjual 8.9 juta tong, meningkat 14% berbanding FY24, sekali gus menyumbang kepada pendapatan sebanyak RM2.3 bilion dan untung kasar RM1.0 bilion," katanya.


Aliran tunai operasi, tidak termasuk bayaran liabiliti sewa, mencatatkan pertumbuhan 7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM867 juta, sebahagian besarnya disumbang oleh aset gas baharu di Brunei.


Fasiliti itu menjana RM175 juta untung kasar, manakala pengambilalihan aset ini serta perbelanjaan modal (capex) kumpulan telah dibiayai sepenuhnya melalui tunai dalaman dan kemudahan pinjaman.


Hibiscus kekal dalam kedudukan kewangan kukuh dengan nisbah hutang kepada ekuiti hanya 28% dan susulan prestasi mantap itu, ia mengisytiharkan dividen interim kelima sebanyak 0.5 sen sesaham.


"Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen FY25 kepada 9.0 sen sesaham, mengatasi panduan minimum 8.0 sen dan bersamaan hasil dividen kira-kira 6%, ia antara tertinggi di Bursa Malaysia," katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan Hibiscus, Datuk Dr Kenneth Pereira berkata, FY25 adalah tahun pencapaian penting bagi kumpulan tersebut melalui beberapa kejayaan strategik yang direkodkan.


Ini meliputi pengambilalihan aset pengeluaran gas di Brunei, penyambungan Perjanjian Perkongsian Kontrak Kawasan Pengaturan Komersial selama 20 tahun dan satu penganugerahan kontrak baharu.


Penambahan ini meningkatkan simpanan 2P sebanyak 70% (40 juta tong) dan sumber 2C sebanyak 93% (55 juta tong), memanjangkan hayat simpanan serta sumber kumpulan kepada tambahan tujuh tahun lagi.


“Kami menepati semua penanda aras di bawah kawalan dan menjana aliran tunai kukuh. Jika diluluskan pemegang saham, kami membayar dividen bersih 13% lebih tinggi daripada panduan minimum," katanya.


Menuju FY26 pula, Hibiscus berhasrat mencapai pengeluaran 35,000 tong sehari, dan melanjutkan misi jangka panjang 2030 untuk menggandakan pengeluaran kepada 70,000 tong sehari. - DagangNews.com