Hiap Huat peroleh aset, tanah Paka Petroleum di Kemaman bernilai RM9.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hiap Huat peroleh aset, tanah Paka Petroleum di Kemaman bernilai RM9.5 juta

Gambar Facebook Hiap Huat Holdings Berhad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jun — Hiap Huat Holdings Berhad memperoleh aset dan tanah perindustrian seluas 20,000 meter persegi yang terletak di Kemaman, Terengganu dengan harga sebanyak RM9.5 juta.


Kumpulan itu berkata, hartanah berkenaan diperoleh daripada Paka Petroleum Sdn Bhd dan terletak di Lot 60472, Kawasan Perindustrian Teluk Kalung dengan tempoh pajakan berakhir pada 9 Jun 2073.


Tambah kumpulan itu, perjanjian jual beli untuk cadangan pengambilalihan tersebut telah ditandatangani oleh anak syarikat milik penuh Hiap Huat sendiri, Relgnite Energy Sdn Bhd pada 16 Mei 2025.


"Langkah pemerolehan ini akan dibiayai kumpulan menerusi gabungan dana yang dijana secara dalaman dan proses pembiayaan daripada bank," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Aset di tanah berkenaan termasuk loji dan jentera, dijangka dapat digunakan semula dengan baik bagi pelbagai operasi perusahaan pengeluaran dan penyelenggaraan sistem tekanan rendah bersepadu.


Selain itu, segala kelengkapan di tapak tersebut kata Hiap Huat, masih boleh berfungsi untuk pembersihan dan ujian telaga minyak, serta perancangan bagi pembinaan bangunan yang berkaitan.


Hiap Huat yang terlibat dalam pengurusan sisa terjadual, pembuatan pelincir dan produk cat berkata, pengambilalihan itu akan memperluaskan pangkalan pelanggannya untuk jangka panjang.


"Ia sedia untuk digunakan serta menawarkan penjimatan masa yang besar dan faedah kecekapan, berbanding alternatif untuk mewujudkan kemudahan baharu daripada peringkat sifar," katanya.


Aset berkenaan juga dekat dengan pelanggan sedia ada di Paka, Terengganu dan akan meningkatkan masa tindak balas ketara serta membolehkan penyediaan perkhidmatan berkualiti tinggi.


Pemerolehan berkenaan termasuk lesen yang telah diluluskan Pejabat Tanah dan Galian negeri itu bagi mengendalikan sisa jenis berbahaya, yang sebelum ini belum lagi dimiliki oleh Hiap Huat.


Langkah pengambilalihan itu juga katanya, dijangka mengembangkan keupayaan kumpulan serta membuka laluan untuk perniagaan dan menjana aliran pendapatan baharu. - DagangNews.com