KUALA LUMPUR 5 Nov – AmInvestment Bank memulakan liputan ke atas HI Mobility Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM3.00 berasaskan potensi kenaikan 24% daripada paras semasa.
Menurut firma penyelidikan tersebut, penilaian itu turut berdasarkan 20 kali unjuran pendapatan pada FY28, sepadan dengan rekod purata banyak syarikat mobiliti dan pengangkutan awam serantau.
Tambahnya, kumpulan pengangkutan itu kini muncul sebagai pengendali utama perkhidmatan mobiliti awam di Malaysia, disokong oleh tiga teras utama antaranya operasi rentas sempadan yang dominan.
"HI Mobility juga dipacu operasi intrabandar yang defensif, dan potensi pertumbuhan baharu melalui penglibatan dalam operasi kenderaan elektrik (EV) sektor bas," kata AmInvest dalam satu notanya.
Ia menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) keuntungan kumpulan sebanyak 20% pada FY25 hingga FY28, dipacu oleh peningkatan jumlah penumpang dan kontrak yang boleh dikembangkan.
Pendapatan rentas sempadan dijangka meningkat 9% setahun, dengan pembukaan sistem transit rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura pada 2027 yang akan membuka pasaran baharu bernilai RM177 juta.
Aktiviti ini kata AmInvest, merangkumi 60% hasil kumpulan, dengan unjuran peningkatan penumpang 6% setahun dan tahap penggunaan 80%, manakala tambang berpatutan sekitar RM4.80 setiap perjalanan.
"Caj ini 60% lebih murah berbanding rel dan 80% rendah daripada pengangkutan persendirian, yang menjadikan Hi Mobility pilihan utama bagi penumpang berkepekaan harga tinggi," kata firma itu.
Bagi operasi intrabandar yang menyumbang 35% hasil kumpulan, kumpulan ini memiliki buku tempahan belum dibil RM266 juta, memberikan liputan kontrak 1.5 tahun dan keterlihatan hasil sehingga 2029.
AmInvest menambah, di bawah Model Kos Kasar SBST, pihak kerajaan menanggung risiko tambang dan jumlah penumpang, sekali gus memastikan aliran tunai syarikat ini stabil dan margin konsisten.
Selain itu, ia mengakui Hi Mobility berpotensi menembusi segmen EV dan pembuatan bas, di samping berubah menjadi operator bersepadu yang meningkatkan kecekapan kos dan kawalan rantaian bekalan.
"Dengan 13,000 unit armada bas nasional yang semakin usang, segmen ini dijangka membuka peluang baharu bagi pertumbuhan jangka panjang syarikat tersebut pada masa hadapan pula," jelasnya lagi.
Kumpulan itu ketika ini kata AmInvest, mengendalikan 745 bas (682 diesel dan 63 elektrik) dengan empat depoh dan sistem operasi pusat dilengkapi sistem pengesanan global (GPS) serta telematik.
HI Mobility juga jelas firma penyelidikan berkenaan, mencapai tahap kebolehpercayaan perkhidmatan melebihi 95%, dengan kedudukan kukuh ini mewujudkan halangan kemasukan tinggi bagi pesaingnya.
Justeru, dengan nisbah hutang bersih rendah 0.1 kali dan RM116 juta hasil penyenaraian, kumpulan ini memiliki keupayaan kukuh membiayai pengembangan tanpa menjejaskan pulangan pemegang saham.
“Ia menawarkan gabungan unik antara pendapatan defensif dan potensi pertumbuhan berskala besar, sejajar dengan agenda mobiliti pintar dan EV negara kita,” kata AmInvest. - DagangNews.com








