HHRG tamatkan perjanjian usaha sama, ubah terma perjanjian jual beli tanah di Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HHRG tamatkan perjanjian usaha sama, ubah terma perjanjian jual beli tanah di Terengganu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Dis - HHRG Berhad menamatkan perjanjian usaha sama tidak diperbadankan (UJVA) serta perjanjian opsyen panggilan yang berkaitan pengambilalihan saham dalam Udaran Sdn Bhd.


Menurut kumpulan tersebut menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, penamatan tersebut berkuat kuasa pada 19 Disember 2025, namun tiada sebarang alasan yang dikemukakan berhubung perkara itu.


UJVA berkenaan melibatkan anak syarikatnya, Open Road (East Coast) Sdn Bhd (OREC) dengan Tregon Construction Sdn Bhd, manakala perjanjian satu lagi dengan Yik Ching Han dan Yik Ching Leong.


"Kedua-dua perkara tersebut dimeterai syarikat pada 28 Mei 2025," kata HHRG sambil menegaskan yang langkah penamatan berkenaan dijangka tidak menimbulkan sebarang kerugian kewangan material. 


Sementara itu dalam kenyataan sama, HHRG mengesahkan OREC menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dipinda yang membabitkan dua lot tanah di Mukim Pulau Kerengga, Daerah Marang, Terengganu.


Transaksi tersebut katanya, dilaksanakan bersama-sama dengan Tregon meliputi Lot 7803 seluas 19,543 meter persegi bernilai RM11 juta dan Lot 78304 seluas 2,042 meter persegi bernilai RM2 juta.


Perjanjian dipinda itu menetapkan bayaran dibuat secara ansuran dan mengatur tanggungjawab vendor bagi penyelesaian isu pegangan, kos pendaftaran hak milik, serta pemindahan hak milik kepada OREC.


Bagaimanapun jelas HHRG, semua syarat lain dalam SPA sebelum ini adalah kekal berkuat kuasa, dan menyatakan ia tidak menjejaskan modal terbitan, pegangan pemegang saham utama, serta aset bersih.


“Selepas menilai semua aspek, Lembaga Pengarah berpendapat bahawa penamatan dan pindaan perjanjian ini adalah dalam kepentingan terbaik HHRG dalam jangka panjang,” kata syarikat tersebut lagi.


Dokumen berkaitan perkara berkenaan jelasnya, tersedia untuk disemak di Pejabat Berdaftar HHRG di Shah Alam, Selangor selama tiga bulan dari tarikh pengumuman itu. - DagangNews.com