KUALA LUMPUR 21 Ogos 2025 – Hextar Technologies Solutions Berhad (HexTech) membatalkan perjanjian jual beli (SPA) dengan Widad Development (Nilai) Sdn Bhd (WDNSB), anak syarikat Widad Group Berhad.
Kumpulan itu berkata, ia melibatkan cadangan subsidiarinya, Guper Bonded Warehouse Sdn Bhd (GBWSB) melupuskan empat lot tanah industri berstatus pegangan bebas di Nilai, Negeri Sembilan kepada WDNSB.
Pemansuhan tersebut dimeterai menerusi satu Surat Ikatan Pembatalan yang bertarikh hari ini, dengan menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan SPA itu berkuat kuasa secara serta-merta.
"Pembatalan berkenaan tidak membabitkan sebarang pengakuan salah atau liabiliti oleh mana-mana pihak dan keputusan ini dibuat secara muafakat," kata HexTech dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Pada 18 April 2025, HexTech muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam Widad Group dengan pegangan 23.03 peratus, berikutan perjanjian penjualan tanah di kawasan Nilai Inland Port tersebut.
Di bawah perjanjian itu, Widad memperoleh tanah perindustrian seluas 4.2 hektar, daripada GBWSB, berharga RM31.3 juta dan hasil jualannya akan digunakan HexTech untuk pelaburan perniagaan teknologi.
Mengulas lanjut, HexTech berkata, langkah itu dibuat setelah mengambil kira perubahan ekonomi semasa serta mendorong kedua-dua pihak untuk menilai urus niaga dan mengenal pasti semula lot tanah terlibat
"Meskipun perjanjian asal telah secara rasmi dibatalkan, kedua-dua pihak bersetuju untuk merunding dan memeterai SPA baharu jika diperlukan sekali lagi pada masa akan datang," kata kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun tambah HexTech, keputusan berkenaan masih lagi tertakluk kepada persetujuan bersama mengenai sebarang terma-terma yang telah disemak semula dan kedudukan tanah telah dikenal pasti.
SPA asal sebelum ini diumumkan pada 17 April 2025, susulan siri pengumuman pada 11 September 2024, 10 Mac 2025, dan 25 April 2025, yang memperincikan hasrat pelupusan lot tanah kosong itu oleh HexTech.
HexTech menjelaskan bahawa pembatalan SPA dijangka tidak memberi kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih, mahupun kadar hutang kepada ekuiti kumpulan untuk tahun kewangan semasa.
Widad pada mulanya bercadang untuk menjalankan pembangunan hartanah komersial di atas tanah itu, dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM135.29 juta. - DagangNews.com








