KUALA LUMPUR 6 Okt – Hextar Technologies Solutions Berhad memperkenalkan Net7, iaitu platform pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) pintar pertama di Malaysia dipacu kecerdasan buatan (AI).
Menurut kumpulan itu, platform terbaharu berkenaan diusahakan melalui anak syarikatnya, MoneyX, dengan direka bentuk khusus untuk pelbagai aktiviti pengurusan kad perniagaan secara digital dan pintar.
Pembangunan Net7 dilaksanakan bersama Mandrill Tech Sdn Bhd, iaitu syarikat terkemuka dalam rumusan AI dan pembelajaran mesin dengan melibatkan sejumlah lebih 150 pakar teknologi yang berkaitan.
"Inisiatif ini turut disasarkan untuk pasaran global dengan penekanan perusahaan dalam sektor perbankan, insurans, runcit dan pelbagai industri utama," maklum Hextar Technologies kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, Net7 merevolusikan cara CRM perniagaan diurus, dengan menukar data mentah dari kad perniagaan kepada profil profesional banyak maklumat, boleh dicari, dan dikategorikan secara pintar.
Antara ciri utamanya termasuk pengurangan sehingga 99% entri data secara manual, menjimatkan masa untuk pasukan jualan serta pengelasan pintar meliputi pengecaman peranan dan penandaan industri.
Net7 turut katanya, mampu menapis secara automatik selain perkongsian kecerdasan korporat bagi memastikan setiap hubungan kekal sebagai aset syarikat, dan bukan milik individu semata-mata.
"Ia juga direka dengan piawaian keselamatan tinggi, menyokong integrasi dengan platform CRM utama, pematuhan kepada ISO 27001 dan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)," kata Hextar Technologies.
Pada masa sama jelasnya, Net7 menyokong pendekatan rangkaian digital mampan tanpa kebergantungan kepada kad fizikal serta mewakili konsep rangkaian tanpa sempadan yang merentasi tujuh benua.
Pelancaran perkhidmatan ini turut dijangka memberi nilai tambah strategik kepada tawaran digital syarikat itu serta mengukuh kedudukannya dalam landskap teknologi perusahaan serantau dan global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Technologies, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, usaha kumpulan berkenaan bakal mengubah cara perniagaan biasa berinteraksi dengan lebih baik.
"Kami menggabungkan inovasi AI dengan keupayaan CRM untuk menjadikan setiap kad nama sebagai peluang perniagaan sebenar, bukan sekadar simpanan kenalan,” katanya. - DagangNews.com








