KUALA LUMPUR 6 Jan - Nahas helikopter Super Lynx TLDM di Melaka baru-baru ini mengurangkan sebuah lagi aset penting untuk mengawasi keselamatan maritim negara dari udara.
Sebelum nahas, TLDM mengoperasikan 4 daripada 6 helikopter Super Lynx untuk operasi peranan maritim bagi menyokong keperluan operasi dan latihan armada.
Baki 2 pesawat lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan logistik pesawat.
Disebabkan nahas maka jumlah helikopter Super Lynx TLDM yang masih beroperasi kini cuma tinggal 3 buah sahaja.

Helikopter Super Lynx merupakan penukul hadapan dalam armada TLDM kerana keupayaan melancarkan serangan ke atas kapal selam musuh.
Helikopter ini juga menjadi kuasa udara kepada TLDM apabila membantu kapal-kapal perang dalam operasi permukaan.
Imbas kembali dalam kejadian pada Rabu lepas, sebuah helikopter Super Lynx terpaksa mendarat cemas di perairan Pantai Klebang, Melaka sebelum kru dan juruterbang diselamatkan.
Semasa kejadian helikopter sedang melakukan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).

Kejadian yang berlaku pada pukul 10.50 malam itu melibatkan empat kru udara, namun kesemua mereka berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Melaka.
Kekurangan helikopter Super Lynx sebenarnya telah menjejaskan paras keupayaan TLDM untuk melaksanakan operasi udara maritim.
Melihat pada keadaan ini, maka seharusnya kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyegerakan penggantian helikopter Super Lynx sepertimana yang dirancang.
TLDM sejak 5 tahun lalu merancang membeli helikopter operasi antikapal selam (ASW) baru menggantikan Super Lynx dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk memenuhi pelan transformasi 15-to-5.
Program tersebut sepatutnya bermula pada tahun ini atau jika paling lewat adalah sebelum tahun 2030.



MINDEF dijangka membelanjakan kira-kira RM10 bilion bagi melaksanakan perolehan aset baharu TLDM bagi pemodenan armada dalam RMK-13 termasuk membeli helikopter ASW.
Termasuk dalam rancangan pembelian ini ialah baki 3 buah kapal misi pesisir (LMS), 2 buah kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS) dan 6 buah pesawat udara tanpa pemandu (UAV).
Perolehan ini dilihat relevan bagi melengkapi program kapal tempur pesisir (LCS) yang dijangka diterima pada 2026.
Beberapa model seperti KUH Surion/Marineon (KAI) dan potensi MH-60R, AW159 Lynx Wildcat, atau Bell 412 disebut-sebut menggantikan pesawat sedia ada yang semakin usang dan memerlukan sokongan logistik lebih baik.



Dua tahun lalu, TLDM mengemukakan permohonan ‘Request For Proposal’ (RFP) untuk membeli 6 buah helikopter pengganti Super Lynx tersebut.
Bagaimana pun, jenis dan buatan helikopter tidak dinyatakan kerana RFP adalah langkah pertama sebelum proses seterusnya dilakukan.
Malaysia merupakan pengguna luar negara pertama helikopter Super Lynx apabila kerajaan pada 1999 bersetuju membeli pesawat tersebut yang diterima 4 tahun kemudian.
Helikopter Super Lynx TLDM dilengkapi dengan selaras mesingan berat, empat unit peluru berpandu antikapal Sea Skua dan dua unit torpedo ringan A-244S Mod 1.


Super Lynx boleh beroperasi dari dua frigat kelas Lekiu yang merupakan kapal perang canggih masa itu.
Helikopter Super Lynx yang asalnya dibina oleh firma Westland Helicopters kini mempunyai varian terbaharu iaitu AW159 Wildcat yang dibangunkan syarikat Leonardo, Itali.
AW159 Wildcat boleh diperanan sebagai helikopter utiliti, operasi mencari dan menyelamat, tinjauan udara, ASW, peperangan permukaan dan kawalan pemerintahan.
Adalah diharapkan kerajaan dapat membuat keputusan segera demi memastikan TLDM tidak terus tempang.
Ini kerana semakin lewat keputusan dibuat maka semakin panjang tempoh menantikan helikopter tempur baharu untuk menggantikan Super Lynx yang telah berusia lebih 20 tahun. - DagangNews.com








